PUTRAJAYA - Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) mengesahkan kedua-dua syarikat, FIC London Hotel (Private) Limited (FLH) dan FIC Global Limited (FGL) yang didaftarkan di Birtish Virgin Islands (BVI) merupakan hak milik FIC sepenuhnya.

Pengerusi FIC, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim juga mengesahkan FLH merupakan pemilik tunggal The Park City Grand Plaza Kensington Hotel di London, United Kingdom (UK), manakala FGL pemilik tunggal Felda House dan Grand Felda House, juga di London.

“FIC harap penjelasan ini dapat jelaskan kekeliruan dan pertuduhan negatif tentang status syarikat yang telah diedarkan atau didedah mana-mana pihak,” katanya pada sidang media, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim dan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Sementara itu, menjawab tuduhan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai status pelaburan FIC ke atas Hotel Grand Plaza Kensington di London, Syed Mohamed berkata, syarikat itu merupakan syarikat asal yang didaftarkan untuk pelaburan di UK.

“Apa yang berlaku, syarikat yang dinyatakan Rafizi adalah syarikat asal yang didaftar untuk tujuan pelaburan di UK. Akan tetapi, selepas pendaftaran syarikat tersebut, struktur pelaburan telah berubah.

“Jadi bagi memanfaatkan syarikat itu, syarikat lain terbentuk. Oleh itu, nama dua syarikat sebenarnya adalah berbeza, tetapi kelihatan sama. Syarikat dilepaskan (dibubarkan) adalah FIC London Hotel Pte Limited manakala yang masih beroperasi dan dipunyai 100 peratus FIC adalah FIC London Hotel (Private) Limited,” jelasnya.

Sebelum ini, Rafizi mendedahkan FIC London Hotel Pte Limited telah ditutup melalui warta rasmi kerajaan BVI bertarikh 19 Mei 2016 yang menyenaraikan syarikat tersebut telah dibubarkan dan dibatalkan pendaftarannya.

Dalam perkembangan sama, Razali berkata, dakwaan pembangkang mengenai Hotel Grand Plaza Kensington di London bukan lagi dimiliki FIC tidak berasas.

Katanya, syarikat FIC Hotel London (Pivate) Limited adalah pemilik hotel tersebut dan masih bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan operasi.

Menurutnya, dakwaan Rafizi bertujuan mengelirukan rakyat khususnya peneroka supaya benci Felda.

Pada masa sama, beliau juga persoalkan tindakan Ahli Parlimen Pandan itu yang tidak dedah perkara sebenar mengenai hotel tersebut.

“Kenapa Rafizi tidak cakap perkara betul atau memang dia sengaja buat begitu kerana nak kelirukan rakyat dan memburukkan FIC.

“Ini semua adalah sifat pembangkang kononnya Felda ini sangat teruk, apatah lagi ketika PRU14 semakin hampir ini,” katanya.

Pada sidang media itu, Razali turut menunjukkan sijil pendaftaran syarikat tersebut, bertarikh 13 Oktober 2017 sebagai bukti tuduhan Rafizi itu tidak berasas.

“Syarikat didakwa Rafizi iaitu FIC London Hotel Pte Limited domain apabila FIC bentuk syarikat baru atas faktor strategi perniagaan dari segi mendapatkan keuntungan cukai di sana,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :