KUALA LUMPUR - Mahasiswa Malaysia harus tahu menggunakan demokrasi dalam menegakkan keadilan tanpa mengganggu keamanan negara, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sambil meluangkan masa bersama 119 orang, yang terdiri daripada jemputan khas kalangan rakan media tradisional dan sosial serta mahasiswa menonton filem The Lady hari ini, Saifuddin berkata, beliau menggunakan medium menonton filem bersama dengan mereka untuk memberi mesej itu kepada orang ramai khususnya mahasiswa.

Katanya lagi, mahasiswa Malaysia seharusnya sudi berkongsi pendapat dan idea mereka bagi bersama-sama dalam memperjuangkan demokrasi.

“Saya membuat perjumpaan ini untuk menjalin kerjasama lebih erat dan merapatkan hubungan bersama rakan media dan juga mahasiswa,” katanya ketika ditemui selepas sesi menonton filem The Lady, di sebuah kompleks membeli-belah di sini, petang ini.

The Lady arahan Luc Besson, dibintangi oleh Datuk Michelle Yeoh sebagai pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dan David Thewlis sebagai mendiang suaminya.

Saifuddin yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, The Lady menjadi pilihannya kerana filem itu berkisar kisah benar mengenai semangat demokrasi yang kuat.

Filem ini juga menunjukkan bagaimana demokrasi digunakan dan cara menegakkan keadilan dengan jalan yang sewajarnya.

Ketika ditanya sama ada filem ini dipilih untuk menyampaikan mesej secara halus kepada mahasiswa ekoran demonstrasi sejak kebelakangan ini, Saifuddin berkata: "Tidak. Tujuaan sebenar adalah untuk merapatkan hubungan dengan rakan-rakan Twitter dan rakan media."

"Dengan cara ini boleh bertukar-tukar pandangan," katanya kepada Sinar Harian Online.

Tambah beliau, dengan tayangan filem ini beliau dapat bersemuka dengan lebih jelas lagi bersama rakan-rakan Twitter yang sebelum ini menggunakan medium internet untuk berkomunikasi.

“Ini bukanlah perjumpaan kali pertama bagi saya kerana sebelum ini juga saya ada mengadakan perjumpaan bersama rakan jaringan sosial Facebook dan kami bersama-sama menonton filem 3 Idiots sekitar tahun 2010,” tambah beliau.

Sementara itu, Zarakahan, seorang penerbit media tempatan yang turut menyertai program hari ini berkata, rakan Twitter boleh menjalin hubungan lebih erat bersama ahli politik yang tidak pernah mereka bersua muka.

“Acara ini bagus dibuat kerana kami dapat lihat dengan lebih jelas seorang pemimpin yang boleh dijadikan contoh dengan menonton filem bersama masyakat tanpa ada sebarang jurang,” tambah beliau.

Menurut Ismail Adnan, pelajar jurusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, filem The Lady merupakan pilihan tepat dan sesuai dengan isu semasa yang sedang berlaku di negara ini.

“Kita dapat lihat dengan jelas demokrasi ini adalah satu hak iaitu hak kita untuk bersuara, tetapi kita harus bertanggungjawab dan tahu menggunakan dengan cara yang sesuai,” kata beliau.

Ujarnya lagi, mahasiswa kini semakin agresif dan membuat sesuatu tanpa berfikir panjang dan seharusnya mereka faham erti demokrasi yang sebenar.

Muhamad Zharif Badrul dari Universiti Teknologi Mara pula berpendapat selain dapat mengeratkan hubungan sesama rakan Twitter, program anjuran hari ini juga berkesan untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa yang demokrasi yang ditunjukkan dalam filem ini seharusnya diguna pakai dalam Malaysia.

Saifuddin, Ahli Parlimen Temerloh berkata, sambutan kali ini amat menggalakkan termasuk sekurang-kurangnya 40 mahasiswa hadir.

Menurut beliau lagi, satu lagi perjumpaan bakal diadakan melibatkan media dan rakan sosial pada 3 Jun ini tetapi belum menetapkan tempat dan aktiviti.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :