MAKANAN di Malaysia diiktiraf antara paling sedap di dunia apabila enam restoran tersenarai dalam 50 terbaik di dunia.

Keenam-enam restoran ini terletak di Pulau Pinang (2), Melaka (2), Terengganu (1) dan Perak (1).

Keputusan ini diumum dalam The World Street Food Congress 2017 yang diadakan pada 31 Mei hingga 4 Jun lalu di Manila, Filipina.

Penilaian ini dibuat ahli panel yang terdiri daripada penulis pelancongan, wartawan, pengacara televisyen dan pakar-pakar dalam bidang masakan. Markah-markah diberikan berdasarkan tahap kebersihan, penggunaan ramuan, proses penyediaan, kualiti dan kelazatan makanan.

Nasi Kandar Line Clear di Pulau Pinang mengharumkan nama negara kita apabila dipilih menduduki tempat ke sembilan; ini diikuti Siam St Cha Kway Teow, Pulau Pinang (14); Fauzi Nasi Kerabu, Terengganu ( 23); Donald & Lily, Melaka ( 34); Guan Heong Biscuit Shop, Ipoh (36) dan Jalan Kuli Satay, Melaka (43).

Menurut laporan China Press, lain-lain negara yang turut tersenarai dalam 50 restoran terbaik di dunia ini termasuk China, India, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Amerika Syarikat dan Mexico.

Keputusan ini menyaksikan Hill Street Tai Hwa Pork Noodle, Singapura menduduki tempat pertama, tempat kedua diraih Franklin’s BBQ, Austin, Texas, Amerika Syarikat manakala tempat ketiga ialah Che Paek Pu Ob Voon Sen, Bangkok, Thailand.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.