KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan tahniah kepada tiga penjelajah negara yang berjaya menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Utara dalam misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017.

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan tiga penjelajah kita ke Kutub Utara telah selamat menyempurnakan misi mereka. Tahniah!" kata perdana menteri dalam catatan di laman Twitternya hari ini.

Ketua Penjelajah, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, 35, Shahrom Abdullah, 38, dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37, menamatkan misi tersebut pada 5.06 petang semalam waktu Kutub Utara atau 11.06 malam tadi waktu Malaysia.

Berdasarkan perancangan, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 membabitkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji sejauh 111 kilometer yang memakan masa 11 hari bermula dari Stesen Barneo ke titik 90 darjah Kutub Utara.

Bagaimanapun, ketiga-tiga penjelajah Malaysia itu menamatkan misi mereka dalam tempoh enam hari sahaja.

Kumpulan penjelajah negara itu berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April lepas sebelum berpangkalan di Longyearbyen, Svalbard, Norway selama seminggu bersama pasukan sokongan diketuai Penasihat KE7B Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof dan turut disertai beberapa wakil media dari TV3 dan NSTP.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu merupakan aktiviti ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Tujuh Puncak Tujuh Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi KE7B Merentas Greenland 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan ‘Social Impact Exchange’ (SIX) pembayaran berasaskan impak untuk memperkukuhkan lagi budaya inovasi di negara ini.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan nama yang paling mencerminkan Bajet 2018 yang dibentangnya pada 27 Oktober lepas, adalah “Bajet Inklusif dan Menyeluruh”.
  • KUALA LUMPUR - Malaysia tetap berpegang dengan pendirian membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan persekutuan akan tetap menjayakan projek Lebuh raya Pan Borneo yang akan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak.
  • KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat daripada ketua-ketua delegasi perwakilan luar negara di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.