KUALA LUMPUR - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan agar pendakwah Islam terkenal, Dr Zakir Naik dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr P Ramasamy berdebat secara terbuka.

Menurutnya, debat tersebut dengan tajuk Who is the real terrorist? (Siapa pengganas sebenar?) perlu dibuat secara terbuka dan dapat disaksikan oleh rakyat di negara ini.

“Atas semangat Malaysia Baharu yang terbuka dan telus dalam membuat penilaian secara matang dan ilmiah, saya ingin mencadangkan satu debat antara Dr Zakir Naik VS Dr Ramasamy dibuat segera.

“Jika benar pemimpin DAP (Ramasamy) tersebut mementingkan kebebasan bersuara, nilai intelektual dan hak rakyat menilai kebenaran, mereka wajar menyahut cadangan ini. Jika enggan, maka nyata isu ini hanya sikap permusuhan antara mereka dan umat Islam semata,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya ,sebentar tadi.

Sebelum ini, P Ramasamy memberi cadangan supaya Zakir dihantar pulang ke India supaya hubungan Malaysia dengan negara itu tidak terjejas.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Zakir Naik: Kerajaan tidak akan tunduk desakan ]

Kata Mohd Asri, siapa yang tewas dalam debat tersebut boleh dihantar pulang ke India seperti saranan Ramasamy sebelum ini.

“Berdasarkan desakan mereka, maka saya cadangkan sesiapa yang jelas tewas dalam debat mungkin boleh dihantar pulang ke India seperti yang menjadi hasrat mereka. Salah seorang akan pulang ke sana,” katanya.