SHAH ALAM - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menyifatkan tiada bukti yang dapat menyokong dakwaan yang dibuat oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS) berkaitan penyelewengan dana syarikat itu.

Memetik laporan portal tempatan, 1MDB berkata, tuntutan mahkamah sivil itu tidak mengandungi sebarang lampiran bukti atau kenyataan saksi untuk menyokong dakwaan yang dibuat oleh DoJ.

“Firma pelaburan negara itu juga menyatakan ia bukan pihak yang dinamakan dalam saman pelucuthakan berkenaan, dan tidak juga cuba dihubungi oleh DoJ.

“1MDB akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa negara asing itu, tertakluk kepada protokol antarabangsa yang mengawal perkara-perkara seumpamanya dan nasihat daripada pihak berkuasa yang sah di negara ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, DoJ mengumumkan saman pelucuthakan sivil terbarunya untuk merampas ASD540 juta dalam aset yang dibeli dengan dana didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Pemfailan pertama bagi pelucuthakan aset bernilai ASD1 bilion dibuat pada 21 Julai tahun lalu, dengan penyiasat AS berkata, rakyat Malaysia telah ditipu pada skala besar-besaran.

Ketika itu, mereka mengumumkan lebih AS$3 bilion didakwa diselewengkan daripada 1MDB dan berusaha untuk merampas kira-kira AS$1 bilion aset haram.

Dalam satu kenyataan malam tadi, iaitu yang ketiga dan terbaru, DoJ meletakkan angka yang didakwa diselewengkan itu pada AS$4.5 bilion dan sedang berusaha untuk merampas AS$1.7 bilion dalam aset yang dipercayai diperolehi dengan menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB.

Sementara itu, dalam laporan Free Malaysia Today, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghentikan tindakan DoJ, terutama sejak tindakan undang-undang yang sama telah difailkan sebelum ini.

“Kita tidak boleh menghentikan apa yang dilakukan, kerana kita pernah berdepan perkara sebegini sebelum ini.

“Biarlah mereka buat apa yang mereka mahukan. Tambahan pula, ini bukanlah sesuatu yang baru. Mereka (DoJ) telah melakukannya sebelum ini dan kita dapat menjawab dan mengatasinya,” katanya.

Jelasnya, perkara seperti itu tidak akan mengalihkan perhatian kita terhadap agenda yang lebih besar.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diminta menjelaskan kepada rakyat berhubung bayaran penyelesaiannya sebanyak RM2.4 bilion kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).
  • PUTRAJAYA - Malaysia tidak terhutang budi kepada sesiapa pun dalam isu melunaskan bayaran hutang 1Malaysia Development Bhd’s (1MDB), kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
  • KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah membuat pembayaran penuh yang dijadualkan pada tarikh akhir 31 Dis, 2017 kepada International Petroleum Investment Co PJSC (IPIC).
  • KUALA LUMPUR - Krisis yang melanda 1 Malaysia Develompent Berhad (1MDB) tidak memberi kesan teruk terhadap ekonomi Malaysia.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa tempoh jangka masa bagi melengkapkan proses pengauditan ke atas penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun 2015 dan 2016 masih belum dapat dipastikan berikutan siasatan polis sedang berjalan sehingga kini.