KUALA LUMPUR - Walaupun terdapat kebimbangan mengenai tahap keselamatan alam siber negara semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) ini, namun CyberSecurity Malaysia memberi jaminan ia berada di tahap terkawal.
   
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Dr Aminuddin Abdul Wahab berkata pihak CyberSecurity, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan di alam siber.
   
"Orang ramai tidak perlu risau atau cemas, mereka boleh membantu menjaga keamanan alam siber negara dengan mematuhi undang-undang negara ini terutamanya bagi individu dewasa ketika melayari Internet," kata beliau dalam kenyataan kepada Bernama di sini.
   
Antara tindakan pengguna yang boleh membantu menjaga keselamatan alam siber ialah dengan sentiasa menjaga etika ketika menggunakan e-mel dan laman media sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan sebagainya.
   
“Fikir secara rasional, jangan bertindak ikut emosi dan jangan mudah percaya dengan sumber maklumat yang tidak sahih. Oleh itu, jangan ‘share’, ‘like’, atau ‘forward’ maklumat yang belum dipastikan kesahihannya kerana perbuatan tersebut seolah-olah menyebarkan fitnah,” jelas Aminuddin.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Shahnon Mohamed Salleh berkata agak sukar untuk meramalkan sama ada akan berlaku serangan siber pada proses pengundian esok (5 Mei), namun kemungkinan serangan siber tidak hanya menyerang media sosial seperti Facebook dan Twitter tetapi juga e-mel.
   
"Objektif mereka melakukan serangan siber ini untuk 'melumpuhkan' sesuatu perisian bagi menyekat penyebaran maklumat supaya masyarakat tidak dapat memperoleh maklumat yang sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama.
   
Menurut beliau turut menjadi sasaran serangan siber adalah e-mel yang bertujuan untuk 'mencuri' maklumat daripada ahli-ahli politik yang menjadi sasaran utama.
   
Justeru, katanya, kawalan keselamatan yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang adalah penting bagi memastikan isu itu dapat dikawal.
   
Pengguna Internet boleh melapor sebarang insiden keselamatan siber kepada Pusat Bantuan Cyber999 CyberSecurity secara atas talian melalui emel cyber999@cybersecurity.my <mailto:cyber999@cybersecurity.my> atau laman sesawang <http://www.mycert.org.my/report_incidents/online_form.html>.
   
Sebagai alternatif, pengguna juga boleh menelefon hotline 1-300-88-2999 (waktu pejabat) atau +6019-2665850 (kecemasan - 24 jam), melalui pesanan ringkas dengan menaip <CYBER999 REPORT> <E-MEL ANDA> <LAPORAN ATAU ADUAN ANDA>, dan hantar ke 15888 atau faks ke +603 8945 3442. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi berhubung isu penjualan data pengguna yang disyaki diperoleh dengan cara yang tidak sah.
  • CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat 51 laman web melibatkan pelanggaran hak cipta mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sejak Januari hingga September tahun ini.
  • PASIR MAS - Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengingatkan pengguna laman sosial supaya tidak menularkan berita yang tidak sahih dan berunsur fitnah kerana ia boleh menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.
  • KUALA BERANG - Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan meningkatkan perkhidmatan talian telekomunikasi bagi mengelak gangguan sepanjang perayaan Aidilfitri.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) digesa menyiasat aplikasi 'Bigo Live' dan mengambil tindakan segera mengharamkan penggunaan aplikasi tersebut.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.