KUALA LUMPUR –  Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menyokong usaha kerajaan mewujudkan sistem jalur lebar dengan kelajuan dua kali lebih pantas pada separuh harga.

Pengerusi CFM Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, langkah itu perlu dibuat memandangkan penggunaan Internet bukan lagi kemewahan tetapi keperluan di era moden ini.

“Inisiatif kerajaan mengurangkan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar boleh dikira sebagai kejayaan membanggakan.

“Infrastruktur telah dibina dan diguna pakai pengguna walaupun di luar bandar. Dengan cara menaik taraf dan mengoptimumkan infrastruktur yang sedia ada, pihak penyedia perkhidmatan seharusnya boleh menurunkan harga dan meningkatkan kualiti liputan bagi servis mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.  ​​​

Mohamad Yusrizal berkata, bagi memenuhi kehendak digital pada hari ini, pengguna terpaksa melanggan perkhidmatan internet yang ditawarkan penyedia perkhidmatan walaupun kosnya agak membebankan.

Beliau berkata, kemudahan Internet yang dapat diakses semua pengguna dapat meningkatkan pertumbuhan aktiviti perniagaan dalam talian sekali gus menjadi medium pilihan untuk menjana pendapatan.

“Sekiranya harga perkhidmatan Internet dikurangkan, kos perniagaan mereka akan berkurangan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya. - Bernama