KUALA LUMPUR - Usaha dan langkah bersepadu antara kerajaan dan sektor swasta harus dipercepatkan bagi menangani masalah serius kekurangan saintis dan jurutera di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata Majlis Kebangsaan Sains, Penyelidikan dan Pembangunan mendapati, negara ini memerlukan 500,000 saintis dan jurutera menjelang 2020.

Bagaimanapun, pada masa ini negara hanya mempunyai 70,000 jurutera berdaftar, tujuh kali lebih rendah daripada angka diperlukan.

“Saya berasa, cabaran dalam membangunkan negara, pendidikan memainkan peranan utama. Justeru, kita perlu memastikan graduan yang kita hasilkan berdaya saing,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Wanita Antarabangsa dalam Sains, Kejuruteraan dan Teknologi (WiSET) di sini, hari ini.

WiSET diadakan bersempena Asean M & E Show 2018, pameran terulung berkenaan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal di rantau ini.

Dalam perkembangan sama, Yeoh berkata, struktur sokongan perlu dalam memperkasa wanita di sektor pekerjaan.

“Kita perlu menghasilkan graduan yang berdaya saing untuk maju ke hadapan. Kerana itu kita perlu berterusan membabitkan (pelajar)… mungkin melalui latihan atau program lain bagi membantu mereka, terutama wanita untuk menjadi lebih berdaya saing.

“Untuk mengekalkan wanita dalam sektor pekerjaan, struktur sokongan mesti disediakan, di sektor kerajaan dan swasta, bagi membantu mereka untuk berkembang,” tambahnya. - Bernama