Dua waris pembuka Kampung Changkat Banjar berasa sedih dengan perpindahan sebilangan penghuninya atas sebab faktor ekonomi yang menyebabkan kampung tersebut kini diancam kekurangan penduduk.

Mohamed Ali, 80, dan Sabran Talib, 78, ialah waris kepada Ali dan Talib yang membuka Kampung Changkat Banjar dipercayai sekitar 1905. Kedua-duanya adalah penduduk tertua di kampung tersebut pada masa ini.

“Dulu orang muda ramai. Seronoknya masa kenduri bergotong-royong mengikut cara dan adat orang Banjar. Sangat meriah.

“Sekarang ini masih ada gotong-royong. Tapi tak meriah macam dulu lagi. Kalau kenduri dah buat layan diri dan makan atas pinggan plastik. Sangat berbeza dengan amalan gotong-royong masyarakat sebenar orang Banjar yang gemar makan berhidang ketika kenduri.

“Mungkin orang tua sudah ramai meninggal dan generasi muda tidak ada semangat nak terus memperjuangkan identiti budaya kaum Banjar," kata Mohamed yang dipanggil Tok Amat Yunan oleh penduduk kampung.

Dia kini hanya terlantar di rumah. Biarpun fizikal sudah uzur, namun ingatannya kepada sejarah kampung dan perubahan demi perubahan yang berlaku masih utuh. Sesekali dia tersenyum.

“Kampung ini dulunya sawah padi dan sebahagiannya berpaya. Bila tanam pokok getah, orang kampung ramai menoreh. Nak keluar ke pekan kena lalui titi batang kelapa. Silap langkah jatuh ke paya.

“Terlalu indah kampung ini. Bersama orang Banjar seluruhnya. Tapi sayang, rakan-rakan seusia sudah meninggal. Anak muda ramai pindah. Lama kelamaan apa jadi dengan kampung ini. Tapi apa pun yang terjadi, atuk takkan pergi dari sini,’ janjinya.

Begitu juga janji Sabran yang sesekali tidak akan pergi ke mana-mana kerana terlalu menyayangi kampung yang dibuka bapanya.

“Atuk tak mahu ikut anak ke bandar. Atuk masih mahu menoreh getah di kampung ni. Ramai orang fikir, atuk dah uzur. Tak boleh kerja. Tapi atuk suka menoreh. Sampai sekarang, awal tengah malam atuk dah keluar menoreh getah. Atuk rasa gembira buat semua ni,” katanya.

Menurutnya, dia bimbang jika keistimewaan kampung itu terhakis memandangkan golongan tua sudah ramai meninggal dunia. Dia khuatir jika generasi yang tinggal sekarang tidak boleh mengusung semua ciri, identiti, adat resam dan budaya orang Banjar di kampung tersebut.

“Ini kampung orang Banjar. Jadi jagalah keistimewaan kita. Jangan biar semuanya luput,” pesannya.

Bagi kedua-dua warga emas itu, penderitaan pada era perang Jepun dan komunis ketika berada di kampung ini sangat meninggalkan kenangan yang tidak boleh diucap dengan kata-kata.