PASIR MAS - Biarpun bertongkat empat setiap kali hadir ke sekolah, kecekalan Nik Nur Aisyah Amalyn Nik Sen, 18, berbaloi apabila memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Kejayaan Nik Nur Aisyah yang menghidap kanser tulang itu merupakan di luar jangkaan pihak sekolah kerana sebelum ini dia hanya mampu hadir ke sekolah semasa di tingkatan lima sahaja.

Dua tahun dia diberikan cuti kerana perlu melakukan pembedahan serta menjalani rawatan di hospital sehingga anak ke empat daripada enam beradik ini tidak berpeluang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Bukan itu sahaja, sepanjang tingkatan lima Nik Nur Aisyah perlu berulang alik ke hospital setiap bulan untuk mendapatkan rawatan kemoterapi.

"Semua ini tidak mematahkan semangat saya kerana ibu dan ayah sentiasa ada di sisi.

"Merekalah yang banyak memberikan sokongan dan sanggup berjaga malam bersama semata-sama menemani saya mengulang kaji pelajaran untuk menduduki SPM," katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Tok Uban itu mendapat 5A+ bagi subjek Pendidikan Islam, Tasawur, Matematik, Ekonomi dan Sains.

Manakala 2A bagi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah serta 1A- untuk Bahasa Inggeris.