KUALA LUMPUR - Ketika tinggal empat hari lagi, badan-badan NGO di bawah Bersih 2.0 mengumumkan pendirian mahu mengadakan perhimpunan Duduk Bantah pada Sabtu ini di Dataran Merdeka meskipun tidak mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis.

"Kelmarin, polis telah memberi jawapan menolak pengunaan Dataran Merdeka.  Kami akan berunding lagi dengan Datuk Bandar dan PDRM untuk menetapkan Dataran Merdeka sebagai lokasi Bersih. Walaupun dihalang, Dataran Merdeka adalah muktamad," kata Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur menasihatkan penganjur perhimpunan Sabtu ini, yang turut dikenali sebagai Bersih 3.0, untuk menggunakan sama ada Stadium Titiwangsa, Stadium Badminton atau Stadium Bola Sepak Cheras.

Ambiga berkata, pihaknya amat kesal dengan kerajaan yang menawarkan pelbagai tempat berasingan kerana ia menyebabkan ramai yang terkeliru.

Sidang media hari ini turut dihadiri oleh Datuk A. Samad Said.

Katanya, keputusan Bersih 2.0 untuk menggunakan Dataran Merdeka berasakan pelbagai sebab kerana ia boleh didatangi dengan pengangkutan awam dan juga amat sesuai bagi rakyat menunjukkan semangat patriotik menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Katanya, Dataran Merdeka adalah hak warga negara dan hak untuk berhimpun ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Kami percaya pihak polis akan menjaga keselamatan Duduk Bantah. Kerjasama polis ini terbukti pada 26 Febuari 2012 di Himpunan Hijau.

"Orang awam boleh berhimpun secara aman jika pihak polis dan majlis tempatan bekerjasama dengan penganjur," katanya lagi.