PUCHONG - [DIKEMASKINI] Tragis apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut ditetak bapa kandung sendiri ketika tidur di rumah didiami keluarga itu di Flat Puchong Permai, kira-kira jam 5.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, mangsa yang cedera ditetak sebanyak tiga kali di bahagian kepala dan pergelangan tangan kanan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Menurutnya, hanya bapa mangsa yang bekerja sebagai anggota Rela berusia 35 tahun berada di rumah ketika kejadian.

Beliau berkata, pihak polis pada awalnya menerima panggilan orang awam mendakwa terdapat seorang kanak-kanak terjatuh dari tingkat empat pangsapuri kos rendah berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.

Sepasukan polis ke lokasi mendapati mangsa dipercayai ditetak bapanya menggunakan parang.

“Hasil siasatan awal bapa mangsa dipercayai mengalami halusinasi sebelum bertindak sedemikian.

“Suspek mengaku dapat ‘arahan’ bunuh anaknya untuk jadi ‘king’,” katanya mangsa merupakan anak tunggal.

Beliau berkata, suspek dipercayai peminum ketum tegar dan mempunyai satu rekod lampau bersabit kes Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian air kencing dapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine (syabu). Suspek ditahan di tempat kejadian, parang dipercayai digunakan dalam kejadian ditemui dalam rumah.

Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.