PASIR MAS - Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam proses mengagihkan bantuan kepada 5,300 veteran tentera yang terjejas banjir di Kelantan, Disember lepas.
   
Pengarah JHEV ATM Kelantan dan Terengganu, Left Kol Abu Bakar Siddiq Sulaiman berkata, pengagihan sedang dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai selewat-lewatnya akhir bulan ini.
   
"Kita sedang segerakan bantuan wang tunai itu bagi memberi kemudahan kepada mereka yang terjejas akibat banjir," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan rumah projek Jiwa Murni di sini, hari ini.
  
Pada majlis berkenaan, Zaitun Yahya, 53, yang merupakan balu kepada Prebet Md Zin Said yang meninggal dunia kerana dijangkiti kuman pada 30 Nov 2011 menerima sebuah rumah melalui bantuan JHEV, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) serta Adun Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman.
   
Selain itu, Abu Bakar Siddiq berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti beberapa rumah milik veteran untuk diperbaiki melalui Strategi Lautan Biru Ketujuh (NBOS7) kerajaan.
 
Beliau berkata, pihaknya sedang kenal pasti bantuan baiki rumah untuk Kelantan dan Terengganu yang akan dibangunkan oleh Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
   
Sementara itu, Zaitun amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha untuk membantu membina rumah untuk keluarganya.
   
"Saya terharu kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib kami sekeluarga dan saya amat berterima kasih, ini merupakan bantuan yang amat bernilai," katanya. - Bernama