KOTA BHARU - Penubuhan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir dilihat berjaya menangani isu ketirisan dana kerajaan dengan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, jawatankuasa berkenaan yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 12 Jan lepas, membantu Jawatankuasa Pasca Banjir Negeri Kelantan dalam proses mempertimbangkan setiap permohonan.

"Memandangkan banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas, begitu buruk dan melibatkan hampir 87,000 keluarga dengan jumlah lebih 300,000 mangsa di seluruh Kelantan, peranan dan bantuan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir amat signifikan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Makhtar berkata, penggunaan borang ikrar yang disediakan oleh SPRM, di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, membolehkan mangsa yang berdaftar bagi mendapat bantuan wang ihsan, membina rumah baharu dan membaik pulih rumah rosak, membuat perakuan bahawa butiran yang diberikan adalah benar.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut berjaya mendidik mangsa banjir agar lebih bertanggungjawab dan jujur dalam mengemukakan maklumat yang diperlukan.

Beliau berkata, JPP mengesyorkan agar peranan jawatankuasa itu akan berterusan melibatkan pengagihan bantuan kewangan yang lain pada masa akan datang. - Bernama