“AYUHLAH, kita wajib tetap menggigit amanah yang diberikan itu, dengan taring-taring dan geraham-geraham masing-masing, sampai ke titisan darah terakhir, membawa Barisan Nasional menuju kemenangan besar dalam Pilihan raya Umum Ke-14 nanti..."

Begitulah laungan semangat dilontarkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik sahaja menghabiskan pembentangan Bajet 2018 di Parlimen, Jumaat lalu. 

Sudah ternyata lagi jelas, Bajet 2018 adalah bajet pilihan raya.

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi apabila timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara sinis mengakui bajet kali ini adalah bajet pilihan raya.

"Betul la tu. Habis nak buat apa lagi?," kata Ahmad Zahid.

Bajet 2018 adalah bajet terakhir sebelum Parlimen wajib dibubarkan pada Jun tahun hadapan.

"Maka tidak hairanlah BN sebagai kerajaan pemerintah mempunyai kelebihan menyediakan bajet yang mampu 'memancing undi'.

Penjawat awam berjumlah 1.6 juta orang adalah 'tunjang' BN setiap kali PRU. Sebagai balasannya, kerajaan menyediakan pelbagai insentif dan kemudahan kepada mereka.

Walaupun mungkin bukan semua penjawat awam ini mengundi BN, tetapi undi di tangan merekalah BN bergantung harapan.

Bajet ini sepatutnya disediakan untuk menawan hati semua golongan. Namun, apakah rakyat jelata benar-benar gembira dan teruja?

Lihatlah, bagaimana keadaan ekonomi negara sekarang. Seperti dibentangkan Najib, keseluruhan peruntukan bajet ialah RM280.25 bilion, sedangkan kutipan hasil dijangka hanya RM239.86 bilion.

Dengan bahasa yang mudah difahami, apabila perbelanjaan melebihi pendapatan, bermakna kita kekurangan wang.

Jadi apakah kita tidak perlu bimbang dengan kedudukan defisit negara ini?

Sesudah pendapatan negara tidak begitu menggalakkan, kehidupan rakyat pun masih tidak dapat berubah dengan lebih baik, malahan ada lebih teruk, terutama golongan bawahan dan pertengahan. Mereka terus hidup dalam keadaan tertekan.

Banyak peruntukan dalam bajet kali ini  tetapi tidak sedia elesaikan penderitaan mereka ini. 

Kata Najib, kutipan tol di beberapa lebuh raya, iaitu tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor; di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan di Eastern Dispersal Link, Johor dimansuhkan mulai tahun hadapan.

Berita gembira ini bagaimana pun hanya dapat bertahan sehari apabila Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada keesokan hari mengumumkan berita yang kurang enak didengar.

Katanya, pemansuhan empat tol di bawah kendalian Plus Malaysia Bhd (Plus) akan digantikan dengan lanjutan tempoh konsesi tol lain (Plus) sebagai pampasan.

Dengan kata lain, kerajaan tidak akan membayar pampasan tunai, tetapi pengguna lebuh raya Plus akan menjadi 'mangsa' dengan dipaksa bayar tol lebih lama daripada dijadualkan.

BN akan dianggap kerajaan yang benar-benar bersifat prihatin sekiranya benar-benar memahami isi hati rakyatnya.

Namun nampaknya keluhan rakyat bagaikan tidak didengari.

Dua masalah utama rakyat, iaitu masalah peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan seperti tidak diambil berat dalam 'ibu segala bajet' ini.

Kerajaan sendiri telah menyediakan satu laman web khas berciri interaktif bagi mendapatkan input rakyat untuk #Bajet2018 di blog Perdana Menteri mulai 4 hingga 18 September lalu.

Kebanyakannya mengharapkan kerajaan dapat menumpukan perhatian terhadap masalah yang berkaitan rapat dengan kehidupan seharian mereka.

Malahan Najib sendiri turut berkata hasil laman web itu mendapati pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, pencukaian, perniagaan dan kewangan serta pengangkutan dan infrastruktur menjadi topik keutamaan daripada 13,837 cadangan diterima sepanjang kempen itu.

Bukan sahaja masalah kos sara hidup dan kenaikan harga barangan gagal diatasi, turut menambahkan luka ialah cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Begitu juga dengan penetapan harga minyak petrol yang tidak menentu menghantui pemilik motor dan kereta.   

Tunggulah PRU nanti sama ada rakyat benar-benar sokong bajetnya atau tidak.

Sama ada kehidupan diperbaiki atau tidak, terpulanglah kepada pemimpin kerajaan. Rakyat tentu tidak mahu pilih kerajaan yang buta hati dan buta mata!