JIMAT. Itu alasan yang diberikan beberapa pemilik restoran dan penjual goreng pisang yang mengakui menggunakan minyak masak berulang kali malah ada yang mengaku menggunakannya lebih dari lima kali.

Penjual goreng pisang yang hanya mahu dikenali sebagai Azman berkata, kos yang tinggi membuatkan dia menggunakan minyak masak berulang kali bagi menjimatkan modal perniagaannya.

“Harga minyak masak sekarang bukannya seperti dulu, harganya dah mahal. Peniaga goreng pisang seperti saya memerlukan minyak masak dalam kuantiti yang banyak.

“Jika hanya menggunakan hanya sekali, ia akan merugikan. Saya akui, saya beli minyak masak yang dibungkus bukannya di dalam bekas kerana ia murah. Perniagaan ini kecil saja, mana yang boleh jimat, saya akan cuba berjimat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, pemilik kedai makan, Abdullah Majid mengakui menggunakan minyak masak berulang kali untuk menjimatkan kos pembelian bahan berkenaan.

Menurutnya, kedainya beroperasi setiap hari dan memerlukan kuantiti minyak masak yang banyak terutamanya ketika menyediakan hidangan goreng.

“Kedai saya beroperasi setiap hari dan purata pelanggan sehari menjangkau ratusan orang, bayangkan jika saya guna minyak baru setiap hari, pasti saya akan rugi. Siapa saja yang berniaga, mesti nak untung.

“Saya sedar menggunakan minyak kitar semula bukannya satu langkah yang baik, tetapi saya tiada pilihan,” katanya.

Abdullah berkata, sekiranya dia tidak menggunakan kaedah kitar semula, maka dia memerlukan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 kilogram minyak masak yang memerlukan kos yang tinggi.


Peniaga boleh didakwa

Peniaga yang didapati menggunakan minyak masak yang dikitar semula akan didakwa sekiranya didapati bersalah.

Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Ideris Mohamed berkata, setakat ini tiada kes direkodkan namun sekiranya ada aduan, pihaknya akan membuat serbuan dan mendakwa pihak berkenaan.

“Sebelum ini pun kes begini (kitar semula minyak masak) jarang kita jumpa. Yang ada hanya menggunakan bekas minyak yang digunakan beberapa kali.

“Kes tiada tidak bermakna kita tidak buat pemeriksaan. Saya meminta kepada pengguna, sekiranya ada maklumat berhubung penggunaan minyak masak yang dikitar semula, boleh maklumkan kepada Jabatan Kesihatan untuk diambil tindakan,” katanya.

Menurutnya, peniaga atau pemilik premis makanan boleh dikenakan tindakan mengikut 397 (2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.


CAP gesa kerajaan kuatkuasa undang-undang

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya menguatkuasakan undang-undang berhubung isu kitar semula minyak supaya pengguna tidak terus ditipu sehingga mengakibatkan kesihatan mereka terjejas.

Presidennya, S M Mohamed Idris berkata, kerajaan seharusnya peka dengan isu yang dianggap remeh namun memberi kesan kepada pengguna jika tidak dibendung.

“Penggunaan minyak yang dikitar semula ini akan memberi kesan kepada kesihatan pengguna sekiranya kerap mengambil makanan yang dimasak dengan bahan berkenaan. Kerajaan perlu mengenakan lesen kepada pihak yang membuat pengumpulan, penjualan dan pengedaran serta pembelian minyak masak terpakai.

“Lesen perlu diberikan kepada peniaga dan peraturan mesti diperketat. Peniaga yang membuat makanan, tidak kira untuk haiwan ataupun manusia tidak akan diberikan lesen. Sekiranya ada yang masih berdegil, kita minta kerajaan kenakan penjara kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga digesa supaya membentuk piawaian bagi sebatian pola dalam minyak masak bagi memastikan ia tidak dikitar semula.

“Sebatian pola adalah pola kompaun iaitu piawaian yang digunakan untuk menentukan kekerapan penggunaan minyak masak berkenaan.

“Jika tinggi pola kompaunnya, maka kekerapan penggunaan minyak berkenaan tinggi,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.