KUALA LUMPUR  - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak-PKR) mengambil langkah menyelesaikan isu air di Selangor yang disifatkan kritikal berikutan Menteri Besar Selangor itu cuba mengaitkan pembayaran faedah hutang negara dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).  

Najib berkata, isu ekonomi negara termasuk pembayaran hutang diuruskan dengan baik dan berharap Mohamed Azmin juga memberi perhatian terhadap masalah bekalan air terputus yang berlanjutan sejak beberapa hari lalu di negeri tersebut.

“Kewangan negara kita termasuk hutang negara memang diuruskan dengan baik dengan harapan masalah air di Selangor akan diselesaikan dengan baik,” katanya ketika sesi soal jawab sempena persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan tambahan itu, Mohamed Azmin mempersoalkan sama ada kemelut hutang 1MDB mendatangkan kesan kepada peningkatan pembayaran faedah hutang sebanyak 12.5 peratus daripada pendapatan negara berbanding 2009 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak sembilan peratus untuk tujuan sama.

Soalan Mohamed Azmin itu bagaimanapun mencetuskan keadaan gamat dalam dewan sehingga menyebabkan beberapa wakil rakyat BN termasuk dari Baling membidas mengenai masalah air di Selangor.

Mohamed Azmin bagaimanapun terus berdiri untuk mempertahankan soalannya supaya dijawab oleh Najib.

Sehubungan itu, wakil rakyat BN dari Pendang dan Parit Sulong memintanya duduk namun keengganan Mohamed Azmin menyebabkannya ditegur Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Gombak duduk, kalau berdiri sekali lagi saya tidak teragak-agak menggunakan kuasa saya. Yang lain tolong senyap kerana ahli-ahli Yang Berhormat tidak membantu saya,” katanya sambil mengingatkan supaya wakil rakyat tidak melanggar peraturan mesyuarat.

Najib kemudian turut menyifatkan keengganan Mohamed Azmin berdiri sebagai reaksi ‘panas punggung’ terhadap isu air.

Menjawab soalan Mohamed Azmin, Najib menegaskan, hutang negara diuruskan dengan baik berikutan peratusan hutang negara daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telahpun dikurangkan kepada 50.8 peratus daripada 55 peratus jumlah maksimum yang menunjukkan jumlah keseluruhan semakin menguncup.

Menurutnya, keadaan itu terbukti berdasarkan pencapaian Malaysia yang diletakkan dalam kategori A daripada badan penarafan antarabangsa dari sudut kemampuan membayar balik hutang.

“Soalnya, bukan saiz hutang tetapi kemampuan kita membayar balik (hutang). Singapura punya hutang lebih besar , kemampuan bayar balik memang ada. Kita juga ada kemampuan utuk bayar balik yang tidak boleh dipersoalkan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Liang Teck Meng (Simpang Renggam-BN), Najib turut menyifatkan pembangkang membuat permbohongan jelas berikutan sering mendakwa Malaysia akan muflis termasuk menyebarkannya ke negara luar bagi tujuan memburukkan negara.

Beliau sehubungan itu menegaskan supaya pembangkang menyampaikan maklumat secara berfakta bukannya mengeluarkan kenyataan tidak berasas.

“Apa yang saya katakan di dalam dewan ini adalah berasaskan kepada fakta yang telah pun disahkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsan (IMF) dan sebagainya.

“Jadi kalau ada pihak kata Malaysia ini bankrap atau negara yang gagal, itu adalah satu pembohongan yang jelas,” katanya.