PETALING JAYA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulang kritikannya terhadap golongan minoriti ‘super liberal’ dan mempertahankan perjuangan kelompok itu tidak boleh diterima di negara ini.

Anwar menegaskan kerajaan menolak gagasan golongan super liberal tanpa sebarang kompromi.

“Maksud saya sekiranya gagasan ini  mempertikaikan dasar bahasa, pendidikan dengan mengemukakan kepentingan bahasa Inggeris, itu kita terima, saya setuju.

“Tapi mereka tidak boleh meremehkan bahasa kebangsaaan atau golongan mempertahankan gaya hidup LGBT,” tegasnya.

Beliau menjelaskan tegas menentang golongan tersebut kerana mereka mencabar kedudukan bahasa Melayu dan mempromosi gaya hidup LGBT.

“Kita dalam negara ini konsensus tidak boleh menerima perjuangan golongan ini. Saya senada dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tolak perjuangan super liberal.

“Jadi kita menolak gagasan mereka, soal orientasi seks masing-masing itu bukan urusan saya untuk siasat dan selidik.

“Tetapi untuk pamer, mendukung, menjaja dan menuntut pengiktirafan oleh golongan kecil ini, tidak boleh diterima. Hal ini kerana, saya telah berunding dengan pemimpin semua agama di negara ini dan semuanya menolak secara tegas,” jelas Anwar.

Terdahulu, beliau memberi amaran tentang kewujudan golongan yang disifatkan sebagai super liberal di negara ini, yang lantang menyuarakan pandangan dan mendesak ia dipenuhi.

Tanpa merujuk secara spesifik kepada mana-mana pihak, Anwar berkata golongan super liberal ini kerap mengeluarkan permintaan dan menuntut ia dituruti selain mengecam pandangan pihak lain yang bertentangan dengan mereka.