SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa pembayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu terhalang meskipun ia dijanjikan dalam Manifesto PH sebelum ini.

Dalam status Facebook dimuat naik Ahli Parlimen Marang itu, beliau menggesa veteran DAP, Lim Kit Siang mengajukan perkara tersebut kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng jika beliau mahukan bukti.

Abdul Hadi membuat kenyataan sedemikian bagi membalas kenyataan Kit Siang yang mendakwa pemimpin Pas itu memalukan politik Islam kerana mengatakan DAP mendiskriminasikan pembangunan saksama di Pantai Timur.

“Perdana Menteri telah bersetuju untuk mengembalikan royalti terus kepada negeri sebagaimana dijanjikan dalam Manifesto PH.

“Namun pembayaran kepada Kelantan dan Terengganu terhalang. Jika Saudara Lim Kit Siang mahukan bukti, sila tanya Menteri Kewangan (Lim Guan Eng),” tulisnya dalam laman sosial miliknya.

Semalam, Abdul Hadi meluahkan kekesalannya apabila DAP dilihat tidak menyokong hasrat kerajaan untuk membawa pembangunan saksama kepada lima negeri termasuk Terengganu dan Kelantan.

Menurutnya, diskriminasi DAP terhadap hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri Pantai Timur begitu ketara.

Kenyataan Abdul Hadi nyata menimbulkan rasa kurang senang kepada Kit Siang sehingga menyebabkan beliau memuat naik status memperlihatkan kemarahannya terhadap kenyataan Presiden Pas itu.