PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengesahkan kira-kira 30 peratus daripada restoran India Muslim atau mamak didapati masih menaikkan harga makanan dan minuman walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sifar dikuatkuasakan.

Perkara disahkan Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berdasarkan tinjauan dilakukan kementerian itu sepanjang Mei dan Jun lalu.

Beliau berkata, hanya 70 peratus restoran India Muslim sahaja yang menurunkan penurunan harga selepas GST sifar dikuatkuasakan.

Katanya, walaupun bahagian penguatkuasaan yang melibatkan 2,300 anggota sudah mengambil tindakan sewajarnya, namun mereka mengambil pendekatan mendidik berbanding mengenakan denda.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Penurunan harga barang lepas GST kadar sifar sangat rendah ]  

“Kalau kita tengok ia tidak dicerminkan dari segi kutipan denda yang dikenakan sebab bahagian ini sangat menitikberatkan pendekatan untuk mendidik dan menasihati.

“Kalau ia berulang kali dilakukan, barulah tindakan tegas diambil sebab saya percaya, bahagian penguatkuasa pun mereka manusia biasa, berurusan dengan peniaga yang mereka berniaga untuk cari rezeki. Asal tak berlaku perlanggaran yang sangat teruk, jadi tindakan awal memang ambil tindakan pendekatan menasihati,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2018 KPDNHEP, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan tentang kenaikan harga di restoran mamak dan makanan segera selepas GST sifar, susulan kenyataan beliau ketika menjadi tetamu Program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, semalam.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, trend penurunan harga barang selepas GST sifar tidak begitu ketara iaitu antara 0.04 hingga 13 peratus, berdasarkan tinjauan dilakukan pegawai kementerian itu.

“Ia melibatkan 417 item daripada lebih 17,000 premis antara 1 Jun hingga 5 Julai lalu,” katanya.