PUTRAJAYA – Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata siasatan lanjut terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dilakukan berikutan kekurangan bukti dalam beberapa perkara tertentu.

Beliau berkata kertas siasatan berkaitan 1MDB sentiasa dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), bagaimanapun, terdapat kekurangan bukti dalam beberapa perkara tertentu.

“Apabila kertas siasatan dirujuk kepada kami, kami akan menelitinya. Kami dapati wujud kekurangan bukti. Jadi, kami arahkan supaya siasatan dilakukan dalam beberapa perkara tertentu. Saya tidak dapat mendedahkan perkara itu. Siasatan masih dijalankan.

“Antara 20 hingga 25 peratus daripada kertas siasatan perlu dikaji semula,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Apandi telah mengarahkan supaya siasatan lanjut berkaitan 1MDB dijalankan dan sebarang butiran berkaitan kes itu tidak boleh didedahkan oleh kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis selain menyebabkan prejudis kepada kes itu.

Azalina menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo  di Dewan Rakyat dalam jawapan bertulis bertarikh 24 Oktober.

Pada 20 September, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis telah melengkapkan siasatan mereka terhadap 1MDB.

Terdahulu, Apandi menyampaikan sumbangan wang tunai kepada anggota keluarga 23 mangsa kebakaran yang terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara pada 14 September. Sejumlah RM32,500 dikumpul daripada kakitangan AGC.

Mengenai kedaulatan ke atas Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge, Apandi pengurusan kes dilakukan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague pada 11 September.

“Mahkamah telah bersetuju dengan permohonan kami. Pendengaran bersama akan diadakan, satu permohonan bagi semakan dan satu lagi bagi tafsiran penghakiman. Jadi ia akan merupakan perbicaraan bersama.

“Mahkamah turut menyetujui permintaan kami. Kami memohon untuk memfailkan lebih banyak dokumen. Kami sekarang sedang dalam proses memfailkan dokumen tersebut. Itulah yang terkini,” katanya.  – Bernama