KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dimaklumkan berada dalam keadaan sangat penat dan sedih.

Peguamnya, Datuk Harpal Singh Grewal berkata, sekarang Najib sedang berehat selepas semalaman tidak tidur kerana rumahnya diserbu dan digeledah polis.

"Beliau (Najib) sangat letih dan sedih sebab dah lebih 18 jam tidak rehat.

"Beliau cuma sempat terlelap namun tidak betul-betul rehat, sekarang sedang tidur sekejap," kata peguamnya di luar kediaman Najib di Langgak Duta.

Harpal Singh turut memaklumkan, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anak berada di rumah.

"Najib bukan ditahan, dia bebas bergerak. Rosmah dan anak-anak juga ada dalam rumah.

"Kita juga belum dapat sahkan sama ada Najib bakal didakwa atau tidak, polis masih menyiasat," jelasnya.