KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,100 warga pasukan keselamatan, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan orang awam berpeluang menunaikan haji melalui kuota khas jemaah haji  yang diberikan kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kuota itu diterima atas kapasitinya sebagai menteri pertahanan selain keakrabannya dengan pemimpin tertinggi Arab Saudi.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri berkata kuota berkenaan melibatkan 500 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk veteran ATM manakala selebihnya untuk warga Mindef dan orang awam termasuk 10 anggota Polis Diraja Malaysia.

Bercakap pada sidang media selepas majlis meraikan bakal haji di Wisma Perwira di sini hari ini, Hishammuddin berkata penerbangan pertama jemaah haji terlibat adalah pada 22 Ogos ini dengan membawa 400 orang manakala selebihnya dijangka berlepas dengan pesawat kedua pada 27 Ogos.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kekecohan yang berlaku semasa program Nothing To Hide 2.0, Hishammuddin menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Program Nothing To Hide 2.0 anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung di Shah Alam pada Ahad lalu bertukar kecoh apabila dicemari insiden membaling selipar, kasut, kerusi, botol air dan suar sehingga mencetuskan panik dalam kalangan hadirin dan berlaku kejadian bertumbuk sesama sendiri.         

Kekecohan berlaku ketika Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad sedang menjawab soalan berhubung tragedi Memali pada 1985 di Baling, Kedah. – Bernama