TIGA tahun menjadi pengacara program realiti Akademi Fantasia, Zizan Razak sekali lagi diberikan tanggungjawab untuk menggalas tugas pada konsert mingguan bagi edisi tahun ini.

Dengan pengalaman sepanjang tempoh itu, Zizan percaya akan dapat memberikan yang terbaik untuk tahun ini.

"Alhamdulillah, saya teruja dan berbangga dengan kepercayaan yang diberikan. Ini adalah tahun keempat saya dipertanggungjawab mengendalikan AF.

"Cabaran setiap tahun berbeza, tetapi saya yakin dapat mengawal situasi lebih-lebih lagi saat-saat mengumumkan penyingkiran," katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Pelajar & Pengacara Akademi Fantasia 2016 (AF2016), kelmarin.

Seperti mana musim lalu, selebriti berusia 32 tahun itu akan bergandingan dengan seorang lagi pengacara lain yang akan diumumkan pada konsert pertama, kelak.

"Jujurnya, saya tidak kisah digandingkan dengan sesiapapun asalkan kami berjaya menjadikan ia lebih menarik agar penonton terus kekal di hadapan kaca televisyen," katanya.

AF2016 akan akan mula bersiaran pada 21 Ogos nanti.

Selain pengacaraan, Zizan juga sedang sibuk dengan projek lakonannya bersama bintang terkenal Indonesia untuk sebuah filem.

"Insya-ALLAH, saya bakal berlakon dalam sebuah filem Indonesia dan dijangka bergandingan dengan pelakon hebat dari seberang iaitu Acha Septriasa dan Reza Rahadian.

"Namun, semuanya masih lagi dalam peringkat perbincangan," katanya yang mahu berfokus kepada lakonan bersifat artistik, selepas ini.

Pada masa sama, bintang filem Polis Evo ini melahirkan rasa syukurnya kerana namanya tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28).

Menerusi kategori tersebut, memperlihatkan Zizan bersaing dengan rakan segandingan, Shaheizy Sam selain tiga calon lain iaitu Aaron Aziz (Suamiku Encik Perfect), Aniu (Rembat) dan Pekin Ibrahim (Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit).

"Alhamdulillah, tercalon pun sudah menjadi pencapaian yang cukup besar dalam hidup saya.

"Jujurnya, saya terkejut apabila nama dicalonkan dalam FFM28 apatah lagi persaingannya juga cukup sengit," katanya.