'GAGAL kali pertama bukan bermakna gagal buat selamanya'. Pepatah ini barangkali sesuai untuk menggambarkan usaha Les’ Copaque Productions dalam memasarkan produknya ke pasaran.

Les’ Copaque Productions yang menerbitkan animasi Upin Ipin pernah mencuba membawakan karakter kartun itu dalam bentuk 'live-action' sebelum ini, namun gagal.

Bagaimanapun mereka kembali bangkit dengan penghasilan semula Upin Ipin Jeng Jeng Jeng yang menelan belanja RM4 juta.

Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi, berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan timbul sejak tahun 2013.

“Idea penghasilan filem berkonsep live-action ini adalah daripada isteri saya, Ainon Ariff, yang juga bertindak sebagai pengarah filem ini.

"Filem ini menjalani penggambaran dan siap pada tahun sama.

"Namun setelah siap, hasilnya kami dapati terdapat banyak kelemahan dari segi teknikal dan akhirnya filem itu terpaksa dibuang dan kami terpaksa menanggung kerugian yang banyak.

"Bagaimanapun keyakinan kami memang tinggi memandangkan Upin & Ipin sudah menjadi satu jenama yang terkenal dan menjadi fenomena bukan saja kalangan penonton di tanah air malah di luar negara seperti di Indonesia.

"Jadi kami tetap mahu menghasilkan filem ini dan pada Oktober 2014, penggambaran dimulakan dan mengambil masa selama sebulan.

"Kali ini kami turut bekerjasama dengan pengarah tersohor, Erma Fatima untuk menyiapkan filem ini.

"Secara keseluruhan, kami memang berpuas hati dan berharap filem ini akan mendapat sambutan apabila ditayangkan kelak," katanya.

Bakal menemui penonton pada 24 November depan, selain watak Upin dan Ipin, filem ini turut dibintangi pelakon-pelakon seperti Puteri Balqis, Awie, Sarah Ali, Gambit dan Remy Ishak.

“Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng!” mengisahkan kehidupan seorang anak yatim bernama Balqis. Dia sangat meminati watak animasi kembar popular Upin & Ipin.

Suatu hari, seorang lelaki bernama Zaman telah datang ke rumah anak yatim tempat tinggal Balqis. Melalui perbualan Zaman dengan Noreen, Balqis terdengar bahawa Rumah Anak Yatim tersebut hendak diambil alih kembali oleh Zaman yang merupakan anak kepada pemilik tanah  tersebut.

Balqis mula berbincang dengan rakan-rakannya untuk menyelamatkan Rumah Anak Yatim tersebut. Dia telah meminta bantuan daripada Upin & Ipin.

Filem ini juga menyaksikan usaha sama antara Les’ Copaque Production dan KRU Studios serta turut mendapat sokongan dari pihak-pihak tertentu seperti D’Herbs yang merupakan penaja utama dan turut mengeluarkan dua produk khas iaitu Air Minuman Botani dan Shampoo Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! yang boleh didapatkan di pasaran.

Di samping itu, Telekom Malaysia Berhad (TM) dan PT Mega Pharmaniaga turut menjadi penaja bersama bagi filem ini.

Menurut Penerbit filem ini, Datuk Norman Abdul Halim, biarpun belum ditayangkan, filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng sudah mendapat perhatian daripada luar.

"Tidak dinafikan memang ada pertanyaan dan tempahan untuk membawa filem ini ke pasaran luar, antaranya di negara Asia Barat.

"Bagaimanapun semua ini masih lagi dalam proses perbincangan. Kalau boleh, kita mahu mendapatkan banyak lagi pengedar dari luar agar industri filem animasi tempatan akan mendapat perhatian dari negara luar," katanya yang ditemui selesai tayangan Malam Gala filem berkenaan di eCurve, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Turut hadir pada malam gala itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama keluarga.