SELEPAS hampir empat tahun beroperasi, penyanyi, Yunalis Zarai atau Yuna dengan berat hati mengumumkan penutupan butik pakaiannya, November Culture di Subang Jaya, Selangor.

Menurut wanita berusia 32 tahun ini, faktor kewangan merupakan punca utama dia gagal meneruskan perniagaan berkenaan.

"Saya sayangkan perniagaan saya sepenuh hati, tapi sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal.

"Kerana keadaan yang tidak dijangka, saya tidak lagi mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk meneruskan perniagaan tersebut," umumnya menerusi akaun Instagram miliknya, semalam.

Biarpun sedih dengan penutupan butiknya itu, namun penyanyi yang terkenal dengan lagu Terukir Di Bintang ini tetap bangga dengan usahanya menjalankan perniagaan sendirian.

"November Culture adalah sebuah butik yang bebas sepenuhnya,  tidak ada pelabur, tidak ada penyokong, tidak ada yang memberitahu saya apa yang hendak dijual atau dilakukan untuk menjadikan barang itu laku, hanya saya dan beberapa orang yang melakukan apa yang kita suka, kita juga mendapat pengikut yang besar di seluruh dunia!

"Saya belajar banyak mengenai perniagaan dan betapa indah dan mengecewakan bila ia terjadi. Dan akhirnya saya jadi individu yang lebih baik.

"Terima kasih semua untuk sokongan anda, jurugambar, kakitangan, pelanggan. Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk melakukan ini.

"Saya tidak berputus asa, saya baru memulakan babak baru dalam hidup saya," ujarnya.