NAMA Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Figura ini bukan sahaja di kenali peminat tempatan, bahkan mempunyai golongan peminat dari negara lain.

Dan di sebalik kejayaannya, tentu ada insan-insan penting yang sentiasa menyokong karier seninya.

Antaranya adalah barisan peminat setianya yang dikenali sebagai Siti Zone atau Sitizoners.

Justeru sempena perjumpaan kelab peminatnya yang ke-13 dan sambutan hari lahir Siti yang ke-38, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa mengajak peminat dan media ke kampung halamannya di Kuala Lipis, Pahang.

Bertemakan 'Moh Balik Lepih’, seramai 162 peminat dan 15 wakil media telah mengikuti rombongan tersebut dan pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang tiga hari di sana.

Menurut pelantun lagu Jerat Percintaan, sejak awal penglibatannya di dalam industri, peminat banyak menjadi sumber inspirasi kepadanya untuk berjaya dan dalam masa sama berbuat baik sesama individu.

“Kejayaan hari ini kerana peminat-peminat saya, kerana mereka banyak menyokong dan beri inspirasi kepada saya. Jadi saya doakan agar ikatan kita ini biarlah sampai bila-bila.

“Yang baik kita kongsi bersama, kalau buat kebajikan kita buat sama-sama, kalau ada yang buruk kita tegur.

"Oleh itu, kita kekalkan ikatan Sitizoners yang ada ini sampai bila-bila dan jangan sesekali pun terdetik dalam hati kita  berasa untuk iri hati dan cemburu serta perkecilkan orang lain termasuklah peminat artis lain.

“Sebab bagi saya, hidup kita ini sementara saja dan lebih baik kita manfaatkan kepada orang lain. Biarlah kita berbakti hingga hujung nyawa dan terimalah saya seadanya dan menerima semua orang seadanya, saling ingat-mengingati dan sayang-menyayangi,” ujarnya dalam nada yang sebak.

Tidak hanya menghimpunkan peminat dari Malaysia, ada beberapa peminat dari Indonesia, Singapura dan Brunei turut sama menyertai perhimpunan besar ini.

Bahkan mereka menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk beramah mesra bersama figura kesayangan itu.