"Sayang apa khabar dengan mu,
Di sini ku merindukan kamu,
Ku harap cinta mu takkan berubah,
Kerna di sini ku tetap untukmu...,"

Pastinya anda tertanya-tanya gerangan sebenar penyanyi lagu berjudul 'Sayang' yang kini sedang rancak berkumandang di corong radio ini.

Shae atau nama penuhnya Sheryl Gething, adalah pendatang baru dari negara seberang, Indonesia yang memiliki bakat besar dalam bidang nyanyian.

Jika dilihat daripada bakat dan rupa paras, pasti ramai yang tidak menjangkakan gadis cilik ini sebenarnya baru cecah usia 18 tahun.

Sebelum bergelar penyanyi, Shae sudah berjinak-jinak dalam karier nyanyian sejak dia masih menjalani pengajian  peringkat sekolah menengah.

"Sejak dari kecil saya memang sukakan bidang nyanyian dan ketika berumur 15 tahun, saya mula berfikir untuk lebih serius dalam bidang ini. Oleh itu saya mengambil langkah pertama untuk menyertai beberapa pertandingan nyanyian.

"Dari situlah saya berkenalan dengan seorang komposer, Posan Tobing dan dia adalah individu yang bertanggungjawab membawa saya masuk industri ini," katanya.

Shae berkata, dalam tempoh satu tahun setengah menjalinkan kerjasama bersama Posan yang juga pemain drum bagi kumpulan Winner, akhirnya kerjasama itu berjaya menghasilkan album sulungnya berjudul 'The First'.

"Bagaikan mimpi menjadi kenyataan, itulah perasaan yang boleh saya gambarkan sejurus album ini dapat disiapkan sepenuhnya.

"Sebagai pendatang baru saya mahu menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin bagi membuktikan bakat dan kebolehan saya dalam bidang ini," ujarnya kepada Zass.


Puas hati

Menyentuh mengenai album sulungnya, Shae mengatakan ianya mengandungi lapan buah lagu di mana semuanya adalah ciptaan penuh daripada Posan.

"Album ini menampilkan 'Sayang' sebagai single pertama. 'Sayang' merupakan sebuah lagu berentak pop yang ringan dan mudah didengari.

"Saya amat berpuas hati dengan penghasilannya kerana dari awal proses album ini dijalankan sehinggalah ianya siap sepenuhnya, saya diberi kebebasan untuk memilih dan memberi pandangan dari pelbagai sudut dan ia terhasil seperti apa yang saya inginkan," katanya.

Selain 'Sayang', lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini adalah Kok Telfon Telfon Sih, Cintaku Tlah Mati Untukmu, Hangat Hangat Kuku, Ku Pikir Dulu, Tetaplah Senyum, Aku Belum Pernah dan putus Nyambung.

"Semua lagu yang ada sangat istimewa buat saya kerana ia dekat dengan jiwa saya sebagai seorang remaja dengan rentak lagu yang lebih 'catchy' dan pada masa sama ia turut menyampaikan mesej yang berguna kepada pendengar.

"Saya amat berharap pendengar di Malaysia dapat memberi respons dan menerima baik terhadap karier nyanyian saya," katanya.


Lakonan, fesyen

Memiliki rupa paras kacukan Australia (bapa) dan Riau (ibu) ini turut memberi tuah buat Shae apabila dia juga sering menerima tawaran dalam bidang peragaan dan juga lakonan.

Katanya, dia turut mengikuti kelas lakonan untuk membantu dirinya dalam mengekspresikan penghayatan lirik, manakala ilmu fesyen pula diaplikasikan dalam ‘persembahan’ imej beliau sebagai seorang penyanyi yang riang.

"Selain bidang nyanyian saya juga ada terlibat dalam bidang lakonan untuk iklan komersial dan sinetron tetapi ianya masih baru dan tidaklah begitu banyak.

"Oleh disebabkan umur yang masih muda, saya mahu mencuba pelbagai bidang. Bagaimanapun, jika diberi pilihan saya mahu lebih serius dalam bidang nyanyian kerana itu adalah minat saya sejak dari kecil," katanya.