NAMA Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, 41, tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni tanah air.

Kepakarannya sebagai pengarah sinematografi dalam beberapa filem pecah panggung seperti Adnan Sempit dan KL Menjerit berjaya melonjakkan namanya dalam industri perfileman tempatan.

Memulakan kerjayanya dalam sinematografi pada 2002 menerusi filem Bukak Api dan KL Menjerit, anak didik pengarah terkenal, Bade Azmi

ini telah berkhidmat untuk lebih 30 buah filem dan hampir kesemuanya menerima maklum balas yang positif daripada penonton.

Walaupun menerima pendidikan dalam bidang Seni Lukis dan Reka dari Universiti Teknologi Mara, minatnya ternyata lebih cenderung dalam dunia perfileman.

Selain itu, Raja Mukhriz juga pernah bekerja dengan beberapa pengarah terkenal tanah air seperti Mamat Khalid dan Ahmad Idham. Daripada situlah dia menimba ilmu dalam bidang tersebut secara tidak langsung sebelum bergelar pengarah.

Pilih filem era 70-an

Hampir 10 tahun terlibat dalam bidang sinematografi membuatkan Raja Mukhriz bertukar angin dan mencuba bidang yang tidak asing dengannya.

Impiannya untuk mengarah filem akhirnya tiba jua menerusi filem berjudul Tujuh terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB).

Filem bergenre aksi, thriller dan seram itu menampilkan barisan pelakon muda seperti Johan A’sari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Siti Saleha, Cristina Cempaka, dan Marsha Milan.

Berlatarkan era 1970-an, Raja Mukhriz yakin filem itu mampu menarik penonton ke pawagam setelah digarap dengan elemen-elemen komersial.

“Elemen cinta dan kasih sayang turut diselitkan supaya jalan cerita lebih menarik dan menyentuh jiwa penonton,” katanya.

Penggambaran filem  yang mengambil masa 30 hari itu membabitkan beberapa lokasi di sekitar Cameron Highlands, Pahang dan Kuala Lumpur.

Isteri sumber kekuatan

Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur ini, Raja Mukhriz masih memegang prinsip yang tersendiri terhadap sesuatu filem itu.

"Bahasa filem bersifat universal namun ia berdasarkan cara kita melihat dan mengolah dengan cara tersendiri.

“Saya suka memerhati apa yang berlaku di sekeliling dan daripada situlah terbitnya inspirasi untuk kita berkarya.

“Jika kita bersandarkan kisah yang berlaku daripada pemerhatian kita ternyata karya yang bakal kita hasilkan akan menjadi,” katanya yang pernah memenangi Anugerah Sinematografi Terbaik sempena Festival Filem Malaysia 2010.

Menyingkap rahsia kejayaannya, Raja Mukhriz mendedahkan bahawa isterinya, Sharifah Shahora merupakan sumber kekuatannya dalam setiap perkara.

“Dialah segala-segalanya bagi saya,” katanya.

Tambah Raja Mukhriz, selain itu sikap kita sendiri untuk berjaya atau tidak dalam bidang yang diceburi turut memainkan peranan penting.

“Bagi orang yang berjaya tidak semestinya bagus kita boleh berjaya. “Kadang kala ia bergantung dengan usaha kita yang bekerja keras sekiranya mahu berjaya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :