USAHA selebriti terkenal, Johan, mengamalkan gaya hidup sihat membuahkan hasil apabila dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 22 kilogram (kg).

Menurut Johan, 34, dia mengambil masa selama dua bulan untuk menurunkan berat dari 95kg ke 73kg dan berbuat demikian demi keluarga tercinta.

“Saya buat demi keluarga. Saya tahu ajal maut di tangan Tuhan, tetapi sekurang-kurangnya kita kena berusaha untuk jaga kesihatan.

“Saya pun kalau boleh nak tengok sehingga anak naik pelamin dan dapat timang cucu. Yang penting kita berusaha dan tawakal dalam menjaga kesihatan,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan program Jozan Live di Avenue K.

Berkongsi rutin pemakanannya, bapa kepada lima orang cahaya mata ini mengamalkan diet yang seimbang dan berhenti mengambil makanan atau minuman manis.

"Saya memang dah tak ambil minuman, makanan bergula dan juga susu. Selain itu, saya tidak akan menjamah makanan selepas jam lima petang. Lepas pukul lima, saya hanya minum air kosong sahaja jika terasa lapar.

“Saya juga ada melakukan kardio seperti berlari selepas selesai tugasan di konti radio. Bila waktu malam pula saya main bola sepak. Jadi, proses pembakaran lemak dapat berjalan dengan lancar," jelasnya.

Sementara itu, setelah tujuh tahun tidak mempunyai sebarang program bersama rakan baiknya, Zizan Razak, kini mereka tampil dengan program terbaharu, Jozan Live.

“Kali terakhir saya ada program bersama Zizan pada tujuh tahun lalu. Selepas itu, kami hanya bekerjasama melalui acara atau majlis luar sahaja.

“Apabila dapat tawaran untuk program ini, saya terus terima sebab tertarik dengan idea konsep yang digunakan.

“Program ini ada 40 episod dan ia sesuatu kerja yang panjang serta memberi peluang untuk saya memperbaiki kelemahan setiap episod,” katanya.

Lawak Live: Jozan akan mula ditayangkan pada 24 Julai ini bermula pukul 10 malam menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124).