DRAMA Rindu Awak 200% adaptasi daripada novel terbitan Alaf 21 karya Liyana Zahim berjaya membuktikan kehebatannya apabila diangkat sebagai Drama Pilihan menerusi Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015.

Lebih membanggakan, kemenangan turut berpihak kepada tiga kategori lain iaitu Pengarah Drama Pilihan, Aidilfitri Mohamed Yunos; Pelakon Lelaki Pilihan, Zul Ariffin dan Penulis Skrip Pilihan, Nieza Zahar.

Keberkesanan lakonan dan kerjasama mantap kru drama tersebut nyata berhasil dengan kemenangan besar yang menyebelahi drama 28 episod ini, malam kelmarin.

Bercakap mengenai kejayaan cemerlang itu, sutradara Aidilfitri mengakui kehebatan pencalonan drama yang lain menyebabkan dirinya tidak meletak harapan yang tinggi untuk menang.

“Ini adalah kemenangan pertama saya sebagai seorang pengarah. Saya memang tak jangka untuk menang memandangkan pencalonan yang lain adalah yang terbaik.

“Saya anggap ini sebagai satu kemenangan buat semua yang tercalon. Kemenangan ini juga saya ambil sebagai titik permulaan untuk bekerja lebih kuat bagi menghasilkan drama yang lebih berkualiti.

Berkongsi cerita pengalaman mengarahkan Rindu Awak 200%, Aidilfitri tidak meletakkan kejayaan sesebuah drama bergantung pada nama yang dimiliki pelakonnya malah skrip yang baik serta komitmen yang diberikan pelakon dan kru adalah kekuatan utamanya.

“Kualiti sesebuah karya adalah bergantung pada kekuatan skrip yang dihasilkan dan bukanlah kerana pelakon yang sudah popular.

“Kadang-kadang memilih pelakon baharu lebih baik kerana jika lakonannya bagus, penonton akan terus mahu mengenali mereka dan itu satu perkembangan yang positif.

“Sama seperti yang berlaku kepada bintang drama ini Aida Jebat yang mungkin namanya belum cukup kuat sebelum ini tapi atas komitmen yang diberikan dalam Rindu Awak 200%, dia berjaya melonjakkan namanya dalam industri,” ujarnya.
 
'Kerja keras berbaloi' - Zul Ariffin
 
Bintang Rindu Awak 200%, Zul Ariffin turut berkongsi perasaan teruja dengan kemenangannya malam itu dan menganggap kerja kerasnya berbaloi.
 
“Sebenarnya saya memang sudah letakkan target bila berlakon dalam drama ini, saya mahu bantu ia tercalon dalam anugerah ini.
 
“Alhamdulillah, malam ini ia dinobatkan sebagai Drama Pilihan dan lebih membanggakan bila saya sendiri menang sebagai Pelakon Lelaki Pilihan.
 
“Saya anggap ini sebagai bonus memandangkan drama dan pelakon lain yang tercalon tidak kurang hebatnya,” katanya teruja.
 
Zul turut menganggap populariti yang dimiliki menerusi drama ini adalah atas kerja kerasnya dan juga mungkin tidak berlaku tanpa komitmen mantap semua kru yang terlibat.
 
“Drama ini bawa saya ke tahap yang lain di mana orang lebih mengenali saya.
 
“Sebelum ini, tidak tahu bagaimana rasa dikenali, kini dah rasa,” jelasnya.
 
 
Senarai penuh pemenang DFKL 2015:
 
- Drama Pilihan: Rindu Awak 200%

- Pelakon Lelaki Pilihan: Zul Ariffin (Rindu Awak 200%)

- Pelakon Wanita Drama Pilihan: Amyra Rosli (Kristal Maya)

- Pengarah Pilihan: Aidilfitri Mohamed Yunos (Rindu Awak 200%)

- Penulis Skrip Pilihan: Nieza Zahar (Rindu Awak 200%)

- Barisan Pelakon Pilihan: Selamat Pengantin Madu

- Hero & Heroin Pilihan: Shaarnaz Ahmad & Nelydia Senrose (Setitis Kasih Darmia)

- Drama Pendek: Luahan Abah (Muhamad Haizad Hashim)
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.