UNIKNYA Malaysia kerana  walaupun mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama, hidup aman dan tenteram tanpa ada sebarang masalah.

Keunikan itu juga perlu dibanggakan kita sebagai rakyatnya. Dan mengambil semangat 1 Malaysia itu, pihak produksi Marna Film dengan kerjasama Grand Brilliance dan Red Film menghasilkan satu filem berjudul Rembat yang mempunyai tema hubungan perkauman.

Filem arahan Shamyl Othman yang bakal ditayangkan pada 8 Oktober ini sememangnya ada keunikan sendiri kerana jika melihat pada judulnya, seolah-olah filem tersebut berkaitan bola sepak sahaja.

Namun menurut Shamyl, sebenarnya dalam proses pembinaan skrip, banyak perubahan mereka lakukan bagi menyesuaikan filem dengan senario masyarakat negara ini.

“Idea menghasilkan filem ini bermula dua tiga tahun lalu dan pada awalnya, skrip yang dihasilkan hanya mengenai bola sepak semata-mata.

“Namun, ketika proses menyiapkan skrip akhir dan pembinaan filem, secara tidak sengaja filem bola bertukar kepada filem lebih kepada Malaysia itu sendiri.

“Justeru, filem ini seperti mempunyai tujuan yang sama iaitu peminat dari latar belakang berbeza mahu melihat pasukan bola sepak Harimau Malaya berjaya,” katanya kepada Zass.

Rembat merupakan sebuah filem aksi komedi yang dibintangi oleh Shaheizy Sam, Aniu dan Zizan Razak.

Filem ini mengisahkan mengenai Chin Chye (Aniu) dan Malik (Shaheizy Sam), dua orang penyokong tegar bola sepak Malaysia. Mereka punyai latar belakang berbeza, cita-cita berbeza, tetapi hanya satu persamaan sahaja iaitu mereka adalah penyokong Harimau Malaya
Malaysia.

Sama, tetapi berbeza dengan matlamat yang sama untuk berada di perlawanan bola sepak antara Thailand dan Malaysia sebelum malapetaka melanda.

Filem ini turut dibintangi Sam Chong, Zara Zya, Arja Lee, Sherry Alhadad, Michael Chin, Zulin Aziz, Ashraf Zain, Tuan Faisal, Megat Sharizal, Ramasundran, Amirah Azmi, Anding Indrawani, Yvonne Lee dan Zhaf.

Cabaran penggambaran

Filem Rembat telah menjalani penggambaran selama 24 hari di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang dan Johor.

Sepanjang penggambaran, ada beberapa cabaran yang perlu ditempuhi mereka termasuk krew produksi, iaitu masalah jerebu.

Shamyl memberitahu, penggambaran yang dilakukan pada Mac tahun lalu itu sedikit terganggu apabila cuaca di Malaysia agak tidak baik apabila berlaku jerebu yang teruk.

“Kami tidak dapat lagi tunda penggambaran ke tarikh lain dan perlu menyiapkan juga. Jadi, dalam cuaca kurang baik, kami lakukan juga penggambaran.

“Terpaksalah kami semua memakai topeng mulut untuk mengelak masalah kesihatan. Alhamdulillah, sepanjang penggambaran, semua pelakon dan krew tidak mengalami masalah kesihatan.

“Ada juga ketikanya kami perlu menunggu waktu yang sesuai apabila indeks jerebu semakin baik untuk penggambaran.

“Dan pastinya apabila jerebu, sinematografi filem pun agak kurang memuaskan, itu yang perlu kami terima,” katanya.

Selain itu, Shamyl juga mengakui yang dia menghadapi cabaran untuk mewujudkan keserasian antara dua watak utama Aniu dan Sam kerana berbeza kaum.

“Kami perlu melakukan beberapa kali latihan sebelum satu-satu babak dimulakan sebelum penggambaran sebenar, agar mereka kelihatan serasi.

“Alhamdulillah, kedua-duanya berjaya mewujudkan chemistry tersebut dan memperlihatkan semangat persahabatan serta bantu-membantu,” katanya.

Tidak ikut skrip

Shamyl turut memuji semua barisan pelakon yang dipilih untuk filem tersebut memberi komitmen tinggi untuk menjayakan penceritaan.

“Oleh kerana ramai antara pelakon di kalangan pelawak, maka mereka mudah faham apa penerbit dan saya mahukan.

“Ada juga idea mereka secara spontan digunakan dalam babak penggambaran tanpa mengikut 100 peratus kepada skrip yang disediakan.

“Pelakon komedi ini tahu bagaimana untuk wujudkan situasi komedi tersebut. Itu kelebihan pelakon-pelakon ini yang saya suka dan menyebabkan satu kolaborasi terbaik,” katanya.

Shamyl juga berkata, dia amat menyukai lakonan yang ditunjukkan oleh pelakon Zara Zya iaitu sebagai kekasih Sam dalam filem itu.

“Walaupun ketika penggambaran, dia antara pelakon baharu, tetapi saya suka komitmennya. Dan walaupun babaknya sikit, tetapi wataknya menonjol dan meninggalkan kesan,” katanya.

Tontonan pelbagai kaum

Justeru, pengarah muda ini berharap yang sambutan untuk filem tersebut akan memberangsangkan.

“Kerana filem ini punyai kelainan sendiri apabila menonjolkan pelakon pelbagai kaum yang sesuai untuk ditonton semua lapisan masyarakat.

“Ada penggunaan Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa India dan Bahasa Inggeris. Pendek kata, semua ada. Sebab itu kita boleh kata ini filem 1 Malaysia,” katanya.

Pihaknya juga punya harapan besar untuk filem tersebut di mana apa yang dipaparkan adalah satu gambaran benar tentang masyarakat di negara ini.

“Semua minat bola sepak dan pastinya pasukan bola tempatan akan lebih disokong walaupun tidak sehebat pasukan bola antarabangsa lain.

“Justeru itu, selain menyokong pasukan tempatan, sikap hormat menghormati dan tolong-menolong antara satu sama lain perlu dikekalkan.

“Banyak pengajaran dalam filem ini dan kesudahan cerita perlu diketahui masyarakat nanti,” katanya.