SUDAH bertahun dia menjejakkan kaki ke lapangan seni, bagaimanapun sehingga kini, dia belum kenal erti jerih membawa namanya ke puncak populariti.
 
Meskipun populariti bukan sasarannya dalam mengejar impian dan cita-cita, namun dia antara bintang muda yang tidak lari daripada kontroversi hangat.
 
Ada sahaja cerita lama yang dibangkit untuk memburukkan namanya, dari kehidupan sosial ke perampas kekasih orang atau menjadi orang ketiga dalam terlerainya hubungan cinta insan lain, semuanya pernah terpalit pada gadis berusia 25 tahun ini.
 
Namun bagi Ramona Zamzam atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, kontroversi yang melanda tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus berkecimpung di dalam industri.
 
Dan paling penting, dia tidak pernah sekali menjadi perampas atau orang ketiga, biarpun kali terakhir isu tersebut diperkatakan pada akhir tahun lalu.
 
Ini kerana sejak dua tahun lalu, hatinya sudah terisi dengan kehadiran jejaka dari Palestin, Rami Alashkar.
 
Kini, Ramona dan Rami menghitung hari menjelang detik bersejarah mereka yang akan berlangsung pada 15 Mei 2015.
 
"Alhamdulillah, saya kini dalam proses persiapan untuk melangsungkan majlis pernikahan lebih kurang sebulan sahaja lagi.
 
Saya memilih untuk terus bernikah dan tidak akan ada majlis bertunang.
 
"Buat masa ini, kami rancang adakan majlis akad nikah di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta. Bagaimanapun ada pihak berhajat untuk menaja majlis akad nikah kami. Jadi kemungkinan besar lokasi dan masa akan berubah jika kata sepakat dicapai dengan penaja. Apa yang penting, tarikhnya tetap sama.
 
"Saya tidak akan mengadakan sebarang sidang media dan untuk majlis akad nikah, ia akan diadakan secara tertutup. Sebab saya rasa, saya bukan popular tapi saya bersedia berkongsi hari bersejarah saya bersama media, andai ada media yang mahu membuat liputan untuk majlis itu nanti," ujarnya kepada Zass.
 
Menurut Ramona, dia sudah lama mengenali Rami ketika sama-sama menuntut di Kolej Segi, di mana ketika itu Ramona dalam pengajian diploma dan Rami pula sedang mengambil ijazah sarjana muda.
 
Tambahnya, sikap Rami yang cukup menyenangkan membuatkan dia selesa bersama jejaka berusia 27 tahun itu. 
 
"Saya bukan jenis yang pilih lelaki luar, tetapi pengalaman saya bercinta dengan lelaki tempatan membuatkan saya sedikit serik. Berbeza dengan Rami kerana dia tidak mengongkong saya, jauh sekali bersikap cemburu buta. Pendek kata, semuanya senang dan aman.
 
"Dia juga amat memahami saya dan tidak menghalang saya meneruskan karier seni selepas berkahwin. Itu yang penting kerana saya bukan jenis yang boleh duduk diam dan suka bekerja, tapi bukan bermakna sehingga mengabaikan tanggungjawab saya," jelasnya.
 
Bercerita lanjut berkenaan majlisnya nanti, Ramona berkata, majlis resepsi akan diadakan pada Jun di kampung halamannya di Ipoh, Perak, diikuti resepsi di Kuala Lumpur pada September.
 
"Kalau ikutkan saya memang mahu adakan majlis akad nikah sahaja kerana itu yang wajib. Tapi memandangkan saya anak sulung, jadi keluarga mahu adakan resepsi di kampung halaman dan majlis di Kuala Lumpur untuk kedua belah pihak," katanya.
 
Terharu diberi kepercayaan
 
Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Ramona berkata, dia kini memberi fokus untuk mempromosikan filem terbaru lakonannya, Jengka.
 
Lebih membanggakan, setelah hampir lima tahun berkecimpung di dalam industri seni, Ramona diberi kepercayaan oleh Aziz M Osman selaku penerbit untuk membawakan watak utama di dalam filem terbitannya sebagai Nini.
 
"Alhamdulillah, saya sangat teruja kerana akhirnya diberi kepercayaan membawakan watak yang cukup baik, lain dari yang pernah saya jayakan sebelum ini.
 
"Malah saya sangat terharu apabila abang long (Aziz) tidak melakukan sesi uji bakat, sebaliknya terus menghubungi untuk menawarkan saya watak ini," katanya.
 
Biarpun pernah membawa watak ibu hamil sebelum ini, Ramona berkata, watak Nini tetap memberi cabaran kepadanya kerana ia memerlukan dia membawakan watak wanita meroyan dan dirasuk.
 
"Saya dapat kerjasama yang cukup baik daripada pelakon senior seperti abang Riezman dan Azrey serta bonda Afida. Mula-mula memang gerun mengenangkan hanya saya dan Eyka Farhana pelakon baru. Tapi mereka banyak berikan tunjuk ajar sepanjang penggambaran," ujarnya.
 
Diusik mengenai perjalanan kariernya yang berbeza dengan rakan seangkatan dari Dewi Remaja 2009/2010 seperti Neelofa, Izara Aishah dan Anzalna yang lebih dikenali, Ramona berkata, dia tidak pernah meletakkan populariti sebagai perkara pertama dalam kerjayanya.
 
"Saya tak pernah cemburu dengan kejayaan mereka kerana saya percaya setiap orang ada rezeki masing-masing. Walaupun ada yang kurang mengenali saya, saya tetap bersyukur kerana tawaran tetap ada untuk saya," akhirinya.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMA Ramona Zamzam dikenali selepas menyertai pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 bersama Neelofa, Izara Aisha dan Anzalna Nasir.
  • SELEPAS berumah tangga lebih dua tahun lalu, kelibat pelakon Ramona Zamzam dikatakan semakin jarang kelihatan di kaca TV mahupun majlis hiburan sehingga ada yang menyangka dia tidak berminat meneruskan kerjaya seni.
  • MUNGKIN nama gadis kelahiran Ipoh, Perak tidak sepopular rakan seperjuangannya seperti Neelofa dan Izara Aishah, namun kehadirannya sedikit sebanyak memeriahkan pentas industri seni tempatan.
  • Bukan niat di hati untuk menjaja sebarang cerita, apatah lagi kisah yang disiarkan itu bukan berkaitan karier seninya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.