BERILAH apa sekali pun watak kepadanya, pasti dapat disempurnakan dengan begitu baik sehingga meninggalkan impak kepada mereka yang menonton.

Kelebihan itulah yang membuatkan pelakon Azhan Rani masih menjadi pilihan sehingga ke hari ini.

Meski awal pembabitannya dalam lakonan, Azhan sinonim dengan watak-watak antagonis, namun usahanya mempelbagaikan karakter berjaya membuka mata pihak penerbit memberi lebih peluang buatnya.

Pun begitu, Azhan yang telah berlakon lebih 50 buah drama dan filem ini, masih merendah diri dan terbuka untuk terus belajar bagi meningkatkan kemampuan lakonan.

“Walaupun ada pengalaman dalam lakonan sebelum ini, tapi saya selalu ajar diri saya untuk jadi orang baru setiap kali bekerja dengan projek atau watak baru bagi memberi ruang saya belajar.

“Ini kerana bila kita rasa diri itu sudah senior, kita cenderung untuk berasa diri hebat dan serba tahu sedangkan pada hakikat mungkin ada sesetengah perkara yang kita masih perlu tunjukkan ajar orang lain.

“Biarpun kadang-kala diberikan watak yang sama, saya suka melihatnya sebagai satu cabaran baru agar dapat bagi sesuatu yang berbeza apatah lagi bila bekerja dengan persekitaran dan team produksi berlainan,” katanya.

Mengakui dirinya bukan pelakon dari kelompok komersial, Azhan tetap percaya masih ada kalangan penonton yang menghargai seseorang itu berdasarkan bakat dan karya yang dipersembahkan.

Ini terbukti apabila sehingga kini, tawaran lakonannya datang secara berterusan.

Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan wajah Azhan sering sahaja menghiasi kaca TV.

“Meskipun saya bukanlah dari kelompok popular dalam industri, namun saya gembira sebab masih diberi ruang untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat menerusi lakonan saya dalam pelbagai medium.

“Rezeki bukan kita yang atur dan menyedari hal itu jugalah saya sentiasa terbuka dan tidak pernah meminta-meminta tawaran agar diberikan kepada saya kerana percaya hasil kerja yang bagus akan menjadi jaminan orang mencari kita.

“Saya lebih suka watak itu datang mencari saya kerana dengan itu, saya tahu saya ada ciri-ciri yang sesuai untuk menghidupkan watak tersebut, tidak kiralah dalam bentuk yang bagaimana,” tegasnya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Tribute P Ramlee (2015) ini.

Seru pelakon senior kembali aktif

Mungkin ramai yang tidak tahu, selain berlakon dalam puluhan drama TV, pelakon yang pernah bergelar pensyarah sambilan dalam bidang teater di Fakulti Seni Persembahan, UiTM Shah Alam ini juga aktif berlakon drama radio.

Antara 100 drama radio yang pernah dibintangi Azhan termasuklah Tuah Si Pandir, Kesetiaan Seorang Pahlawan, Istiqamah Sebuah Cinta, Nilam Satria dan lain-lain.

“Saya sangat suka berlakon, tidak kira apa medium sekalipun. Mungkin tidak ramai pelakon yang berminat untuk ke radio setelah dikenali di TV atau filem apatah lagi.

“Namun bagi saya, selagi ada ruang untuk saya mengembangkan bakat lakonan, tak salah untuk saya berada di situ.

“Mungkin ada yang fikir berlakon di radio sangat mudah sebab kita hanya perlu melontarkan suara sahaja.

Tapi sebenarnya drama radiolah yang paling susah, sebab apa sahaja ekspresi yang diperlukan pada sesuatu watak itu hanya boleh digambarkan melalui suara sahaja,” ujarnya yang mula terlibat drama radio semenjak 2004.

Tidak menafikan aliran industri seni mula berubah apabila banyak pihak lebih mengutamakan elemen komersial baik dalam pemilihan pelakon mahupun karya, pun begitu Azhan mengakui pernah diminta rakan seangkatan agar berhenti berlakon dan beralih kepada kepada kerja belakang tabir.

“Sebenarnya ramai penggiat-penggiat seni kita yang kecewa apabila elemen komersial terlalu mendominasi karya-karya kita sekarang, sampaikan ramai antara mereka yang tidak mahu lagi berada di depan.

“Saya tidak menafikan perkara tersebut, namun sebab kenapa saya masih di sini adalah kerana saya sangat cintakan dunia lakonan dan belum bertemu titik bosan untuk terus berkarya walau apa pun cabaran yang datang.

“Semestinya saya tidak perlu mengharapkan watak hero seperti mana yang pernah diperoleh ketika tahun-tahun awal saya bergiat dalam bidang ini sebab sebagai seorang pelakon, kita perlu realistik dengan putaran masa, tapi tetap tampil dengan persembahan yang bagus, mantap sepanjang masa,” tegasnya.

Pelakon serba boleh ini juga dikhabarkan bakal muncul dalam filem Hospital Sakit Jiwa tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Azhan kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama terbitan JS Pictures, Dekatkan Jarak Kita, bakal disiarkan November ini di TV3.

Drama ini menyaksikan gandingannya dengan pelakon-pelakon yang sedang meningkat naik.

Ditanya pandangannya terhadap isu ‘pelakon kayu’ yang sejak akhir-akhir ini  dibangkitkan oleh pelakon-pelakon senior terhadap pelakon baru, Azhan mempunyai pendiriannya sendiri.

“Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak, cuma apa yang ingin saya katakan adalah kalau kita sayangkan industri ini, kita sepatutnya sama-sama ambil tanggungjawab bagi keseimbangan dalam pergolakan yang sedang diperkatakan ini.

“Kalau kata tumpuan sekarang lebih kepada komersial, mereka yang tak berada di dalam kelompok itu harus tampil memberi keseimbangan.

"Bukan hanya memilih untuk berada di belakang tabir dan membuat protes dari jauh kerana ia tidak membantu apa-apa.

“Jadi saya menyeru kepada pelakon-pelakon hebat yang kita ada sebelum ini untuk kembali semula dalam industri.

"Saya percaya akan ada ruang untuk kita semua terus berkarya sebagaimana yang kita mahukan,” akui Azhan jujur.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.