Setiap daripada kita pasti memiliki cara tersendiri dalam melakukan pengorbanan dan ia bukan melibatkan wang ringgit semata-mata , bahkan mungkin masa atau beberapa perkara lain.

Begitu juga dilalui Hafiz Hamidun, figura yang  mula mendapat tempat di hati peminat selepas lagunya Zikir Terapi Diri menerima sambutan hebat.
 
Menurut Hafiz, ada sesetengah pihak mempertikai lagu-lagu yang dibawanya dengan anggapan ia tidak seiring dengan imejnya yang tidak seperti penyanyi nasyid.

“Apa pun yang diperkatakan orang, itu bukan halangan asalkan perjuangan itu berada di atas paksi yang betul.

“Inilah salah satu pengorbanan yang saya lakukan untuk masyarakat,” katanya ketika ditemui Zass, baru-baru ini.

Hafiz mengakui,  keputusannya menceburi bidang seni sejak usia belasan tahun,  menyebabkan banyak perubahan terjadi dalam hidupnya.

Malah tanpa berselindung, Hafiz  memberitahu, dia terpaksa mengorbankan banyak perkara demi mencapai impian menempa nama di persada seni.

“Apabila bercakap mengenai pengorbanan, ia adalah satu konsep ibadah. Jadi, segala perbuatan kita mestilah berkonsep ibadah.

“Setiap orang pasti ada pengorbanan masing-masing. Pada saya, setiap hari kita buat pengorbanan kerana ia adalah satu tanggungjawab yang tidak mempunyai batasan waktu.

“Begitu juga saya, demi menggapai impian, pengorbanan paling besar saya buat adalah melibatkan masa. Malah, saya sudah mula bergaul dengan masyarakat ketika umur 18 tahun lagi, padahal ketika itu adalah zaman remaja saya,” katanya.
 
Tambahnya lagi, dengan tahap situasi yang berbeza-beza, masanya lebih banyak diluangkan bersama masyarakat berbanding diri sendiri.

“Ketika itu, masa saya banyak dihabiskan dengan masyarakat berbanding diri sendiri melalui pelbagai program.

“Cuma dulu, impaknya mungkin tidak dapat dirasai kerana masih muda. Tetapi, lama-kelamaan, apabila semakin dewasa, saya dapat merasai kesan itu.

“Persoalannya sekarang adalah bagaimana kita hendak menukar supaya masa yang diluangkan pada masyarakat itu menjadi satu ibadah supaya memperoleh ganjaran daripada ALLAH SWT,” jelasnya.

Tambahnya, oleh kerana menyedari keadaan diri sentiasa sibuk, ia menjadikannya seorang yang sentiasa bersyukur supaya masa itu habis dengan perkara bermanfaat.

“Saya lebih memahami erti syukur. Banyak masa digunakan untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat, ” katanya yang akan menyambut Aidiladha di Vietnam.


Dakwah menerusi lagu

Selain tampil dengan empat album solo, pencapaian terbesar Hafiz adalah dengan mengadakan konsert solo pertamanya, Konsert Zikir Terapi Diri - Hafiz Hamidun pada November tahun lalu.

Walaupun tanpa banyak pihak penaja, penyanyi yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu tetap mampu mengadakan konsert berskala besar seumpama itu dan ternyata ia menerima sambutan hebat.

Selain itu, penyanyi irama nasyid dan ketuhanan tersebut juga dilihat telah membawa anjakan dalam persada muzik tanah air dan dikatakan penyanyi tempatan paling cemerlang pada tahun lalu.

Kini Hafiz atau nama sebenarnya, Mohammad Hafiz Hamidun lebih selesa bergerak secara solo dalam memperjuang muziknya selepas keluar dari kumpulan nasyid UNIC.

Menurut Hafiz, penglibatannya dalam bidang seni bukan berdasarkan hiburan semata-mata, sebaliknya ingin berdakwah menerusi lagu yang dinyanyikan.

"Macam saya katakan tadi, imej hanyalah perkara luaran tetapi ia bukanlah satu masalah dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat," katanya.


Pengorbanan terbalas

Hafiz berkata, pengorbanan masa selama ini seperti sudah terbalas dengan melihat  pencapaian jualan albumnya yang sangat memberangsang selain setiap lagunya dikatakan memberi kesan mendalam kepada semua pendengar.

Perjuangannya menerusi album ternyata membuahkan hasil. Empat album solonya, Hafiz Hamidun yang dilancarkan pada 2007, Syukran (2009), Zikir Terapi Diri (2011) dan Zikir Terapi Diri 2 (2013) memberi petanda positif lebih-lebih lagi dalam arus modenisasi hari ini.

“Saya makin nampak hasilnya. Maksud hasil itu ialah kesan kepada pendengar terhadap apa yang telah dibuat dan respon positif itu menambah semangat untuk buat lebih baik pada masa akan datang.

“Ia juga satu pencapaian di luar dugaan dan sebagai seorang komposer dan  penyanyi, saya bangga,” katanya.

Nampaknya anak muda ini tidak terhad pada satu skop seni, sebaliknya Hafiz mahu karyanya terus dikembangkan kepada cabang seni lain.

Dalam konteks ini, Hafiz mengambil contoh keseriusannya dalam menghasilkan skor muzik untuk filem-filem tempatan.

“Setakat ini, saya sudah melibatkan diri sebagai penulis skor muzik bagi filem Nur Kasih The Movie, Sesuatu Yang Tertinggal, Azazil, Juvana dan terbaru KL Gangster 2,” katanya yang bakal mengeluarkan album kompilasi tidak lama lagi.


Kahwin tahun depan?

Mengenai sisi peribadinya, Hafiz tidak berselindung bahawa dia bakal berkahwin pada tahun depan.

Katanya, dia telah diperkenalkan dengan seorang wanita ketika menghadiri majlis perkahwinan rakannya dan terus melamar wanita itu.

“Calonnya sudah ada dan wanita itu adalah pilihan saya. Buat masa ini, kami saling mengenali diri masing-masing,“ ujarnya.

Ditanya keistimewaan si dia, Hafiz memberitahu sifat jujur wanita itu  membuatnya tertarik hati.

“Bila jujur, banyak sifat terpuji yang lain akan ‘keluar’ dengan sendirinya. Macam itu juga kalau kita jujur dalam perhubungan.

“Terima dia seadanya. Tidak kiralah apa kelebihan atau kelemahan pasangan kita itu.

“Apa yang penting akhirnya dia boleh menjadi kawan saya, malah kami ada banyak persamaan,” katanya yang ingin terus berkahwin tanpa bertunang terlebih dulu.