PELAKON drama bersiri Glee yang memegang watak sebagai Finn Hudson, Cory Monteith ditemui mati di Pacific Rim Hotel, Vancouver, Kanada, semalam.

Dipetik BBC, punca kematian pelakon berusia 31 tahun itu masih belum diketahui.

Monteith pernah terlibat dalam masalah penagihan dadah dan menerima rawatan pada April lalu.

Mayatnya ditemui oleh pekerja hotel tersebut selepas Monteith terlewat untuk mendaftar keluar pada tengah hari, semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Vancouver, Doug Lepard, Monteith telah mati beberapa jam sebelum ditemui.

Pelakon itu dikatakan telah kembali ke bilik hotelnya seorang diri pada awal pagi Sabtu.

Ketika ditanya sama ada Monteith mati kerana pengambilan dadah berlebihan, beliau menjawab bahawa dia tidak dapat membincangkan apa-apa saja yang mungkin ditemui dalam bilik hotel itu, pada masa ini.

Koroner, Lisa Lapointe berkata, “kami tidak mempunyai maklumat tentang punca kematian.” Pembedahan dijangka dijalankan esok.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.