WALAUPUN sudah lama berkecimpung dalam industri lakonan, namun pelakon Pekin Ibrahim dilihat agak kurang muncul di skrin televisyen atau di layar perak.

Akui situasi itu, Pekin menegaskan, sejak awal kemunculannya lagi dia sememangnya bersikap selektif dalam menerima tawaran lakonan.

“Saya memang sangat memilih untuk berlakon, termasuk dalam drama boleh dikira berapa sahaja saya beraksi.

“Bagi saya, berbaloi sekiranya watak yang saya pilih mendatangkan kesan berbeza kepada diri saya dan juga penonton.

“Watak pula, saya suka yang agak pelik dan jarang dimainkan kerana ia menerbitkan kepuasan emosi diri sendiri,” katanya kepada Zass.

Pelakon Juvana 2 ini juga berkata, dia lebih teruja untuk membintangi watak yang dirasakan berbeza dan punya impak yang besar terhadap karier seninya.

“Saya berlakon bukan kerana duit semata-mata bagi saya. Tetapi kualiti lakonan itu yang saya utamakan yang secara tidak langsung memberikan pengalaman baharu untuk mempertingkatkan lagi mutu lakonan.

“Sekiranya saya ambil sahaja watak yang ditawarkan, di mana ia biasa dimainkan oleh pelakon lain, pastinya ia tidak akan lari dari diri sendiri.

“Justeru, saya suka mencari sedikit perbezaan dalam memainkan watak, agar penonton juga berpuas hati dengan lakonan yang saya bawa,” katanya.

Dalam bersikap selektif, pelakon yang berasal dari Kelantan ini sudah membintangi hampir 14 buah filem dan kini mula berkecimpung dalam bidang pengarahan.

Sebagai permulaan, Pekin mempertaruhkan filem Mat Moto yang bakal ditayangkan pada 14 Januari depan.

“Sebagai pengarah baharu memang banyak cabaran perlu dilalui namun berkat bantuan rakan produksi, secara tidak langsung memudahkan kerja pengarahan saya.

“Namun, saya tidak akan tinggalkan bidang lakonan kerana saya cintakan bidang tersebut. Cuma saya terpaksa kurangkan sedikit demi memberi laluan terhadap pengarahan,” katanya.