PERSATUAN Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah di atas penganugerahan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk kepada seniman Sabah mendiang John Gaisah.

Naib Presidennya Timah Dusip berkata penganugerahan itu merupakan pengiktirafan tinggi kerajaan negeri kepada anak seni tempatan yang berjaya mengharumkan nama negeri terutama dalam industri muzik.

Mendiang John Gaisah adalah antara 55 penerima PGDK sempena sambutan hari ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin yang ke-59.

"Kita juga berterima kasih kepada Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang telah memberi sokongan penuh kepada cadangan Pekadin," katanya.
 
Pada 2 Jun lepas, Pekadin mencadangkan agar seniman sepanjang zaman Sabah itu diberi pertimbangan untuk menerima anugerah darjah kebesaran negeri sebagai pengiktirafan kepada sumbangan dan jasanya dalam industri muzik.

Gaisah merupakan salah seorang pelopor industri muzik Sabah melalui penglibatannya sebagai penyanyi, pemuzik dan pencipta lagu khususnya lagu tempatan Kadazandusun.

Mendiang yang pernah diberi nama jolokan 'Sabah's Tom Jones' turut memahat namanya dalam industri muzik negara apabila menduduki tempat ketiga dalam pertandingan akhir Bintang RTM 1976, yang johannya ialah Sudirman Haji Arshad (Allahyarham).

Pengerusi Persatuan Rumpun Anak Seni Sabah (Prass) Abu Bakar Ellah pula berkata pemberian anugerah itu menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri dalam mengiktiraf sumbangan seniman termasuk penyanyi di Sabah.

“Kita berharap anugerah yang diberikan kepada mendiang John Gaisah akan menyuntik semangat kepada artis-astis lain untuk terus berusaha memajukan bidang industri muzik dan nyanyian di Sabah,” katanya.

Abu Bakar turut menerima anugerah Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK). 

“Saya tidak menyangka sumbangan saya sebagai penghibur diiktiraf oleh kerajaan negeri sebegini tinggi. Ini pastinya akan memberi semangat kepada saya untuk terus berkecimpung dalam bidang hiburan di Sabah,” katanya.

Sementara itu keluarga mendiang John Gaisah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi penghargaan kepada beliau.

"Kami dari keluarga John Gaisah terutama anak-anaknya - Esther, Edith dan Aldro mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mencadang dan bertungkus lumus dan memperjuangkan gelaran Datuk untuk 'daddy' kami," kata Aldro dalam satu kenyataan ringkas kepada Bernama. - Bernama