Bukan susah mengenali pendatang baru, Mikail Andre kerana suara dan gaya percakapannya mirip sang abang yang merupakan pelakon dan pengarah terkenal, Pierre Andre.

Sementelah lagi, nama belakangnya turut membawa nama sama daripada bapanya, Nazrul Andre, yang berdarah Perancis.

Sebagai pelakon baru, anak kepada pelakon veteran terkenal, Khatijah Tan, ini tidak terlepas daripada menjadi bandingan abangnya.

Namun, pelakon berusia 20 tahun ini mengakui tidak kisah sekiranya dia disamakan dengan Pierre. Bagi Mikail, dia­lah sumber inspirasinya dalam bidang lakonan.

“Secara jujurnya, saya menganggap abang saya sebagai rujukan untuk saya bertapak dalam industri ini. Lagi pula, dia yang membawa saya masuk ke dalam bidang ini dan memperkenalkan saya dengan pihak Metrowealth (MIG).

“Sekiranya ada orang kata saya dibayangi Pierre, ya saya mengaku. Namun, saya anggap ia sebagai satu cabaran untuk orang membezakan cara lakonan kami. Pun begitu, saya berharap beberapa tahun lagi masyarakat dapat menerima nama Mikail Andre sebagai pelakon bukan hanya sebagai adik Pierre sahaja,” katanya yang ditemui di majlis pratonton filem Hantu Dalam Botol Kicap (HDBK) di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Selain abangnya, teraju utama filem yang sedang ditayangkan di pawagam ini turut menerima didikan lakonan daripada ibunya sendiri.

Menurut Mikail, secara tidak langsung ibunya turut memberi dorongan dan mengajarnya cara untuk menjadi pelakon yang pandai menjiwai watak.

“Selalunya apabila kami menonton televisyen bersama di rumah, ibu mengajar cara untuk menjiwai watak selain memberi tip menjadi pelakon sebenar.

“Sementara itu, abang saya pula sentiasa mengingatkan saya dan mengajar cara menjadi pelakon disayangi dan boleh diterima orang ramai,” ujarnya lagi.


Kaji watak Jack Sparrow

Pertama kali memegang watak utama dalam filem itu, ternyata lakonan pertamanya itu menerima pujian ramai.

Mempunyai keserasian dengan tunjang utama lain dalam filem itu, Mikail bersyukur lakonannya sebagai Azri yang merupakan adik kepada Rina (lakonan Mon Ryanti) dan abang kepada Epul (lakonan Zalif Sidek) dapat diterima ramai.

“Pertama kali memegang watak utama, sudah tentunya saya berasa berdebar dengan penerimaan­ peminat. Maklumlah, daripada seorang pelakon ekstra memegang pula watak utama, pastinya pendedahan cara lakonan saya agak kurang.

“Lebih-lebih lagi, ini merupakan filem kedua saya selepas filem Al-Hijab yang saya hanya memegang watak ekstra. Namun, abang Azahari Zain banyak memberi tunjuk ajar untuk memegang watak Azri,” katanya.

Menganggap tawaran itu sebagai cabaran untuknya, Mikail Andre turut melakukan homework dengan menonton filem Pirates of The Caribbean.

“Abang Azahari cakap watak Azri ini seperti watak Jack Sparrow lakonan­ Johnny Depp dalam filem Pirates of The Caribbean. Watak Azri adalah seorang yang ‘poyo’, berlagak berani dan kadangkala bodoh apabila membuat keputusan sama seperti watak Jack Sparrow.

“Jadi, saya menonton filem ini banyak kali dan mengkaji watak itu bagi memberi variasi dan ekspresi dalam lakonan saya ini,” katanya.

Mikail yang bermula dengan belakang tabir berharap kehadirannya dalam industri dapat diterima sekali gus meramaikan lagi pelapis-pelapis muda dalam dunia lakonan tanah air.

Pelakon yang melibatkan diri dengan dunia teater semasa zaman persekolahannya ini turut berhasrat memegang watak sebagai lelaki romantik.

“Saya teringin memegang watak dalam filem cinta sebagai seorang yang romantik. Mungkin kerana sifat kami yang berdarah Perancis ini gemarkan sesuatu yang romantik,” katanya secara berseloroh.