PELANTIKAN Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu diharap dapat membawa sinar baharu kepada pengamal seni tempatan.

Satu kelebihan, Salleh pernah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (ketika itu), Dr Rais Yatim pada 1 Januari 2011 sekali gus membenarkan perumpamaan 'kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan'.

Bahkan, kredibiliti dan pengalaman Salleh juga tidak perlu disangkal lagi apabila tokoh politik ini pernah menjadi Ketua Menteri Sabah selama dua tahun bermula Disember 1994 sehingga Mei 1996.

Berikrar untuk memberikan perkhidmatan terbaik, Salleh berjanji untuk bekerja sebagai satu pasukan selain mengamalkan pendekatan ‘menjelaskan dan berfakta’ agar segala maklumat dan mesej mengenai dasar-dasar kerajaan dapat difahami masyarakat secara mudah.

Menyambut baik kedatangan menteri baru dalam memastikan kemajuan industri terus diperkenalkan ke persada  dunia, penggiat seni turut mengharapkan khidmat yang terbaik daripada Salleh.

Adalah menjadi harapan daripada pengamal seni tempatan, Salleh akan mencuba bertindak segera selepas mendapat maklum balas mengenai pelbagai permasalahan yang timbul dalam industri seni tanah air.


Selesaikan masalah berbangkit: Jurey Latiff

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff berkeyakinan tinggi dengan pelantikan Salleh sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia memandangkan tokoh politik itu pernah menyandang jawatan Pengerusi Finas pada 2011.

Katanya, berbekalkan pengalaman itu, Salleh mempunyai hubungan dan pengetahuan baik tentang industri seni tanah air sekali gus faham hal  berbangkit.

"Seperti yang kita tahu, terdapat pelbagai isu berbangkit sebelum ini masih lagi belum diselesaikan sehingga ke hari ini.

"Sebelum ini, Salleh pernah menjadi Pengerusi Finas, tetapi hanya dalam tempoh singkat. Walaupun tak sempat nak bantu industri, tetapi beliau telah merancang macam-macam perkara bagi mengukuhkan lagi industri seni.

"Jadi, kita percaya beliau ada satu inisiatif dalam menyelesaikan masalah kerana kelebihannya adalah memahami tentang industri ini sendiri," katanya.

Jelasnya, ketika Salleh menjadi Presiden Finas, pendekatan terbaik yang dilaksanakannya adalah apabila mendengar daripada akar umbi tentang permasalahan industri yang kemudiannya dibawakan dan diselesaikan secara langsung. 

"Secara peribadinya, ada hubungan rapat yang tercipta seperti bersedia untuk berbincang tentang hal industri dan mendengar keluh kesah kita.

"Ini satu perkara yang tidak dibuat oleh mana-mana Pengerusi Finas sebelum ini. 

"Kini, bila dah jadi menteri, kita sangat yakin dengan pendekatannya yang mesra rakyat dan paling penting beliau perlulah memahami kehendak masyarakat," ujarnya.

Tambahnya, dengan pelbagai dasar kerajaan yang ada, matlamat utamanya seharusnya memanfaatkan masyarakat itu sendiri.

"Kita sama-sama membentuk satu industri yang berdaya saing dan menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

"Harapan saya kepada menteri supaya lebih mesra industri.

"Kenali dan cintailah industri supaya apa jua perancangan adalah ikhlas dan benar-benar mahukan anjakan paradigma," katanya.

Malah, Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) ini juga memohon supaya tiada unsur-unsur pilih kasih dalam setiap urusan dan kerjasama yang dibuat.

"Dalam keadaan industri seni yang sangat tenat, kita semua perlu bersatu dan tidak mahu tertekan dengan isu-isu yang masih belum selesai.

"Bahkan, kementerian juga perlu lebih ikhlas dan mempunyai kesungguhan dalam menyelesaikan masalah yang berbangkit. 

Apa-apa pun, saya yakin beliau mampu menyelesaikan masalah-masalah industri dengan lebih berhemah dan saksama," katanya.


Pinda Akta Finas: Zed Zaidi

Merasakan nasib orang seni sering terpinggir, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mengharapkan agar segala permasalahan dalam industri dapat diselesaikan dengan cara yang lebih bijaksana.

Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil berharap agar setiap permasalahan daripada pengamal seni tempatan didengari dan diambil berat.

"Contohnya, kini, dana persatuan pun kita tak dapat.

"Sejujurnya, biarlah apabila tukarnya pucuk pimpinan ini, diharapkan dapatlah menteri yang baharu ini membantu," katanya.

Meletakkan harapan tinggi terhadap portfolio baharu terhadap kementerian, Zed juga mencadangkan agar Akta Finas segera dipinda dan diperkemas.

"Selama ini, Akta Finas hanya mempertahankan kebajikan filem dan langsung tidak melibatkan drama.

"Sedangkan, pembuatan filem, drama, iklan mahupun dokumen perlu melalui Finas bagi mendapatkan permit yang dipanggil Sijil Perakuan Penggambaran (SPP). 

"Tapi, kenapa Akta Finas hanya mempertahankan filem? Bagaimana pula dengan yang lain? Ia perlu dipinda agar kebajikan semua terjaga," katanya.

Katanya, secara tidak langsung, Akta Finas juga perlu mempertahankan golongan pekerja yang terlibat dalam industri seni. 

"Ini kerana, tiada wujudnya satu akta yang mempertahankan orang-orang seni. 

"Sebab itu, jika dilihat, kita selalu saja diperkotak-katikkan terutamanya dalam isu pembayaran gaji," katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga berharap agar industri seni di negara ini sama-sama dimajukan.

"Kita sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan cuba bekerjasama sebaik mungkin dengan kementerian.

"Hubungan lebih dekat dicipta supaya mesej kerajaan dapat disalurkan sekali gus membantu usaha kerajaan," katanya.


Beri sokongan berterusan: Datuk Yusof Haslam

Positif dengan pelantikan Salleh, penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam menjelaskan industri seni tiada masalah untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana menteri baharu yang menerajui Menteri Komunikasi dan Multimedia seperti sebelum ini.

Harapan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) itu cuma satu, kerjasama yang bakal terjalin itu dilakukan demi kebaikan bersama sekali gus memartabatkan perjuangan industri seni ke peringkat lebih tinggi.

"Sebelum ini, Salleh pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Finas.

"Walaupun ketika itu hanya bersikap sementara dan tidak sempat untuk kenal secara rapat, namun saya tahu beliau adalah seorang yang sangat sopan dan mudah untuk dibawa berbincang.

"Mudah-mudahan, beliau boleh bekerjasama dengan kita dan membangunkan industri. Apa yang kita harapkan adalah sokongan daripada beliau untuk sama-sama menggerakkan industri seni," katanya.


Nasib artis terus terbela: DJ Dave

Mempunyai wawasan tersendiri dalam mengubah nasib orang seni, Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave mengharapkan agar penstrukturan baharu dalam kementerian akan terus komited dalam membela hak dan kebajikan artis-artis tanah air.

Menurutnya, pembelaan sewajarnya seharusnya terus diberikan kepada golongan artis yang merangkumi penyanyi, pelakon, penulis mahupun sesiapa jua yang berkaitan dengan dunia seni. 

"Ketika Perdana Menteri melancarkan YA1M pada 2012, saya telah membangkitkan beberapa perkara. 

"Antaranya saya kata, eloklah kalau artis ini mendapat pencen selepas mereka mencapai umur 60 tahun. Namun, ia agak sukar untuk dilaksanakan," katanya.

Katanya, apa yang diperjuangkan ini bukanlah untuk keperluan diri sendiri, sebaliknya bertujuan untuk memberi manfaat kepada artis-artis baharu.

"Kita adalah yayasan untuk membantu artis semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama. 

"YA1M berbeza dengan persatuan artis lain kerana kita memberi tumpuan untuk menjaga kebajikan artis," katanya.

Malah, DJ Dave juga mengharapkan kerjasama terbaik mampu diberikan oleh Salleh demi kepentingan semua pihak.

"Sejujurnya, saya pernah rapat dengan Salleh dan yakin beliau boleh bekerjasama demi kebaikan bersama-sama di semua peringkat.

"Insya-ALLAH, dia akan melaksanakan sesuatu yang terbaik," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.