WALAUPUN sebelum ini pernah tercetus sedikit kontroversi mengenai pengarahan filem Mat Moto antara Pekin Ibrahim dan Ahmad Idham, kini masing-masing punya matlamat sendiri dalam menjayakan filem tersebut apabila masing-masing menggunakan judul filem yang sama.

Minggu lalu kita telah berkongsi mengenai filem Mat Moto yang diarah oleh Ahmad Idham. Kali ini, Pekin pula berkongsi mengenai filem pertamanya itu yang diambil daripada cerita sebenar seorang mat motor bernama Al.

Menurut Pekin, idea untuk menghasilkan filem tersebut tercetus dua tahun lalu, selepas dia bertemu sendiri dengan kumpulan mat motor, lalu mendapat idea untuk membuat kisah kumpulan itu.

"Saya mula membuat perbincangan dengan arwah Azwan Annuar yang merupakan seorang penulis skrip untuk menghasilkan filem ini bersama, namun tidak lama, Azwan meninggal dunia.

"Namun, saya tetap mahu meneruskan untuk menghasilkan filem ini, justeru saya sendiri menulis skrip dan meminta pengarah Syafiq Yusof untuk mengarahkan filem.

"Oleh kerana ia merupakan naskhah pertama saya, Syafiq berpandangan lebih baik agar saya sendiri yang mengarahkan filem ini. Maka jadilah filem pertama saya yang diterbitkan Viper Studio Sdn Bhd dan Skop Production,"katanya kepada Zass.

Filem yang akan ditayangkan pada 14 Januari 2016 mengisahkan tentang perjalanan mat moto dalam berkongsi minat sukan permotoran yang sering disalah tafsir oleh masyarakat.

Ia juga memaparkan pengembaraan mat moto di seluruh pelosok tanah air dalam mencari erti persahabatan dan keseronokan berkongsi minat yang sama.

Menurut Pekin yang juga pelakon watak utama filem tersebut, cerita yang dipaparkan berdasarkan cerita sebenar iaitu kisah seorang watak bernama Al.

"Orang itu memang wujud di alam realiti, di mana watak itu pernah mencari empat biji topi keledar yang digilai mat motor kini.

Namun segala sebab hanya akan diketahui apabila menonton filem ini.

"Di samping perjalanannya ke serata tempat untuk mencari topi keledar itu, ada watak seorang wanita punk yang turut mengikutinya," katanya.

Pekin turut berkongsi, filem tersebut bergenre drama perjalanan kerana melibatkan penggambaran di tujuh negeri antaranya Kelantan, Terengganu, Johor, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Secara tidak langsung, ia merupakan satu cabaran kepada saya yang pertama kali berlakon dan mengarah dalam masa sama disamping penulis skrip.

"Bagaimanapun, apa yang menyeronokkan saya apabila mendapat bantuan daripada tenaga produksi yang sememangnya hebat seperti Raja Mukhriz dan Syafiq.

"Syafiq adalah pengarah bersama untuk filem ini kerana dia juga membantu mengarah apabila saya berlakon," katanya.

Pekin juga berkongsi yang pembikinan filem itu melibatkan ramai mat motor dianggarkan mencecah puluhan ribu orang.

"Saya rasa lebih puluh ribu yang datang beri sokongan, Alhamdulillah mereka datang dengan cara baik dan penuh disiplin demi menyokong filem tersebut. Mereka tidak beri kecaman kepada kami," katanya.

Penggambaran filem itu kata Pekin, memakan masa 23 hari iaitu dibuat ketika Ramadan tahun lalu.

"Penggambaran pertama dilakukan pada hari pertama puasa, jadi satu cabaran kepada kami semua.

"Cabarannya kerana kami bermain dengan jalan raya yang panjang, panas dan berpuasa. Namun tetap menyeronokkan kerana ada kepuasan," katanya.

Dibarisi pelakon hebat

Filem yang mencecah kos RM1.5 juta ini turut dibarisi pelakon handalan seperti Datuk Rosyam Nor, Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Faizal Hussein dan Cat Farish.

Sebagai pengarah yang pertama kali mengarah filem, Pekin bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon itu untuk filemnya.

"Saya pilih mereka kerana ia memang tuntutan naskhah itu sendiri. Oleh kerana watak Al sudah realiti, maka saya tidak mahu terlalu realiti, kena ada nilai sinematik.

"Justeru, saya memilih pelakon yang ada kena mengena dengan motor sebelum ini. Tambahan pelakon yang dipilih juga sudah menjadi ikon kepada mat motor di luar sana apabila membawakan watak dalam filem masing-masing sebelum ini.

"Bezanya cuma, filem kali ini saya bawakan mesej positif. Jika sebelum ini ada antara pelakon memainkan watak antagonis, maka dalam filem ini walaupun watak sama, mereka sudah jadi baik.

"Filem ini sebenarnya sarat dengan pengajaran dan mesej berguna yang dapat disampaikan kepada masyarakat mengenai mat motor," katanya.

Menurut Pekin, dia mengekalkan pelakon dengan watak filem sebelum ini kerana ramai penonton mahu mengetahui kehidupan terkini setiap watak tersebut.

"Penonton akan tahu apabila menonton filem ini nanti. Selain itu, ada pelakon yang memberikan komitmen sepenuhnya untuk menjayakan watak diberi.

"Pelakon wanita saya sebagai budak punk, berkorban memotong rambutnya walaupun pada awalnya ia sayang dan menangis. Itu menyebabkan saya kagum dengannya dan yakin pelakon itu boleh pergi jauh dalam lakonan," katanya.

Guna prop asal

Pekin turut berkongsi yang dirinya memainkan watak utama sebagai Al dalam filem tersebut. Akuinya banyak cabaran untuk memainkan watak berkenaan.

"Ia ada senang dan susahnya apabila perlu bertemu sendiri dengan orang sebenarnya bagi mengetahui kisahnya. Selain itu, 80 peratus prop watak yang saya mainkan menggunakan prop daripada watak asal tersebut yang pernah digunakan sebelum ini.

"Saya pinjam semuanya daripada dia seperti baju, topi, motor dan apa sahaja yang tersarung di badan saya ketika penggambaran filem itu semuanya milik Al sebenar.

"Sebelum penggambaran juga, saya telah minta keizinannya untuk membuat filem berkisarkan kehidupannya. Alhamdulillah dia izinkan kerana filem itu ke arah kebaikan.

"Memang niat saya juga untuk memberikan sesuatu yang berlainan dari segi kandungan cerita kerana mahu buat perkara baru yang tidak mahu ada klise," katanya.Kerjasama JPJ

Sebagai pengarah baharu juga, Pekin mengakui yang dirinya amat berharap filemnya mendapat sambutan daripada penonton.

"Sesungguhnya filem ini saya buat dengan penuh komited untuk peningkatan industri filem negara ini. Bukan untuk saya seorang, tetapi bantu industri semakin maju dan menjadikan semangat untuk saya buat filem lagi akan datang.

"Filem ini juga memang tidak banyak aksi, tetapi adegan biasa sebagai mat motor itu tetap diselitkan. Apa yang berbeza ia dilakukan di tempat yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.

"Kita juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad.

"Beliau sendiri telah membaca skrip filem ini dan merasakan kandungan ceritanya amat bagus untuk diterbitkan kerana banyak mesej positif dipersembahkan," katanya yang memilih judul Mat Moto bukan Mat Motor kerana ia sebutan bagi perkataan itu.