PERTAMA kali digandingkan bersama, itu sudah menjadi cabaran baru buat Shaheizy Sam dan Siti Saleha mencipta keserasian dan ‘kemesraan’.

Namun, keduanya bersyukur kerana dapat melakukan yang terbaik untuk Mamak Cupcake dengan bantuan pengarah, Woo Ming Jin.

"Alhamdulillah, walaupun pertama kali bergandingan tapi tidak sukar mencari keserasian. Kami sudah ibarat satu keluarga dan saya gembira bekerjasama dengan mereka semua," ujar Sam selepas tayangan perdana filem berkenaan di Cathay Cinneplex, e@curve, Mutiara Damansara.

Bagaimanapun ujar Sam, yang lebih menjadi cabaran buatnya adalah menjayakan watak mamak itu sendiri, apatah lagi wajah dan bentuk tubuhnya tidak seperti kebanyakan golongan tersebut.

“Cabaran utama Sam dalam filem ini adalah Sam perlu menjadi mamak. Selama ini karakter mamak sering dikaitkan dengan individu berkulit gelap dan berbulu lebat, tapi Sam tiada semua itu. Jadi Sam tarik perhatian dengan cara percakapan Sam.

"Apatah lagi di dalam filem ini, Sam memegang watak sebagai Mohamad Jamaludin Muhammad dibesarkan oleh ayahnya yang juga India Muslim, jadi sedikit sebanyak tentulah Sam akan ikut cara ayah bercakap,” ujarnya.

Sam berkata, dia amat berterima kasih kepada Azad Jazmin yang turut berlakon dalam filem ini, kerana banyak membantunya dalam mendapatkan cara percakapan mamak.

“Sam selama ini banyak bergaul dengan masyarakat Cina dan banyak perbezaan antara cara percakapan Cina dan India. Jadi Azad banyak membantu membetulkan sebutan dan cara percakapan kerana dia banyak berkawan dengan mamak,” katanya.

Bagi Saleha pula, pengalaman beberapa kali bekerjasama dengan produksi di bawah Grand Brilliance membuatkan dia berasa sangat teruja dan gembira untuk menyelesaikan setiap babak.

Katanya, dek mengenali beberapa kru dan pengarah, dia sentiasa bersikap positif untuk ke set setiap hari.

“Watak Juliana tidak memerlukan saya bermain dengan emosi yang berat. Bagi saya filem ini amat santai dan banyak komedi. “Malah bekerja dengan Sam dan Azad sendiri, walaupun buat kali pertama, namun ia meninggalkan kenangan manis buat saya. Sam sendiri, biarpun pertama kali digandingkan, dia sangat profesional dan tidak sombong. Tidak sukar untuk bekerja dengan Sam,” katanya.

Filem ini berkisar seorang anak jati Penang berketurunan Mamak iaitu Mohamad Jamaludin atau MJ (Sam) berdepan dengan konflik dalam menentukan matlamat hidupnya. MJ amat meminati pembuatan cupcake atau kek cawan, sedangkan bapanya mengimpikannya untuk mewariskan perniagaan tradisi kedai mamak yang dimilikinya kepada MJ.

MJ hampir berputus asa sehinggalah beliau berjumpa dengan seorang gadis iaitu Juliana (Siti Saleha) yang mengembalikan semangat beliau untuk merealisasikan impiannya.


Satukan Sam & Saleha

Timbul, tenggelam, timbul, tenggelam. Itulah yang dapat disifatkan mengenai perkembangan karier adik kepada Zizie Ezette ini kini.

Mengakui dia baharu sahaja mengambil cuti panjang selama setahun setengah kerana semata-mata untuk berehat, akui Sam, dia sebenarnya mengimpikan untuk berehat panjang.

"Sam akui Sam dah tepu untuk berlakon. Sam rasa watak yang Sam bawa kini semua sama sahaja. Sam memang impikan sesuatu yang berlainan.

"Tapi untuk berundur itu tidaklah kerana sejak kecil memang Sam minat dalam bidang lakonan. Setiap kali menerima sesuatu tawaran dan ke set penggambaran, semangat itu lain macam.

"Masalahnya kalau Sam cuti panjang, bagaimana dengan sumber pendapatan Sam, Sam ada ibu untuk dijaga dan perlukan duit untuk membayar segala keperluan Sam.

"Tapi kalau ALLAH SWT buka jalan, bagi Sam sumber kewangan dari perniagaan, mungkin Sam akan berehat seketika," ujarnya yang mengakui mengimpikan bercuti untuk tempoh tiga hingga lima tahun.

Mengakui menyedari hakikat dia menerima apa sahaja tawaran yang tiba, jelas Sam dia masih lagi mementingkan kualiti dalam lakonannya.

"Sam akui pernah terfikir mengenai pelakon yang mempunyai kualiti dengan pelakon yang sentiasa mendapat perhatian dan terima apa sahaja.

"Walaupun Sam terima pelbagai tawaran, bukan bermakna Sam buat sambil lewa. Tapi kalau betul-betul nak berkualiti, Sam tak boleh terima tawaran drama dan fokus satu filem setahun sahaja," jelasnya yang rela mengambil risiko dalam lakonannya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Sam berkata, selepas filem Mamak Cupcake yang akan ditayangkan pada 28 Ogos ini, beberapa filem lakonannya yang lain juga akan menyusul di pawagam.

Antaranya adalah Manisnya Cinta di Cappadocia, Kaki Kitai dan Gol.


Saleha 'demand'?

Berbeza pula dengan aktres cantik, Saleha, gadis berdarah kacukan Inggeris-Melayu ini pula mengakui dia tidak mungkin akan menerima tawaran yang memerlukan dia menjadi seorang ibu untuk buat sementara waktu.

Saleha sebelum ini sudah dua kali ditawarkan watak sebagai ibu, pertama menerusi drama Nora Ellena dan kedua dalam drama Ramadhan Jangan Pergi yang disiarkan di TV3 pada bulan puasa lalu.

"Rasanya cukuplah saya pegang watak ibu dalam drama Ramadhan Jangan Pergi. Dalam Nora Ellena saya hanya mendapat bayi sahaja. Tapi dalam Ramadhan Jangan Pergi anak saya agak besar.

"Bagi saya watak tersebut agak berat dan kalau ada watak untuk menjadi ibu, saya rasa ia tidak sesuai lagi dengan usia saya. Namun saya tidak menyesal menerimanya sebelum ini, kerana ia sebagai satu cabaran. Cuma cukuplah buat masa ini (watak ibu)," katanya.

Berkongsi perkembangannya, Saleha berkata, dia akan berada di Jakarta selama beberapa hari bermula Jumaat lalu bagi menjalani penggambaran super telefilem bersama Aaron Aziz.

"Ia adalah produksi Malaysia dan berkolaborasi dengan produksi dan pelakon di sana, antaranya dengan Zaskia Sungkar. Naskhahnya agak berat, tetapi menarik," katanya yang akan ke Pulau Tioman sebaik pulang dari Indonesia bagi mengikuti kursus selaman dengan kerjasama Pelancongan Malaysia selama beberapa hari.