MELENGKAPKAN profil peribadi, Lisa Surihani diberi kepercayaan sebagai duta baru Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Malaysia.

Secara tidak langsung, pemilihan organisasi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu meletakkan pelakon berusia 31 tahun ini setaraf selebriti dan tokoh antarabangsa.

Meskipun teruja, isteri  aktor dan komposer, Yusry Abdul Halim ini mengakui semua yang berlaku bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana ditawarkan sebagai duta UNICEF di negara ini.

“Jujur, ini merupakan salah satu cita-cita saya sejak zaman sekolah menengah lagi.

“Ini kerana, UNICEF adalah satu organisasi yang menggalakkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak.

“Jadi, saya tidak sangka doa saya termakbul ,” katanya kepada media ketika ditemui, kelmarin.

Menerusi peranan itu, pemilik nama sebenar Lisa Surihani Muhamed ini akan menyertai karakter animasi popular, Upin & Ipin termasuk barisan duta antarabangsa seperti Jackie Chan, Amitabh Bachan, David Beckham dan ramai lagi.

Lisa tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan menerima tawaran berkenaan walaupun pernah terfikir kelayakan dan kemampuannya bergelar duta antarabangsa itu.

"Saya juga harus pandai merebut peluang. Lagipun, ini adalah sesuatu yang menakjubkan apatah lagi ramai aktivis di luar sana yang memperjuangkan dan melindungi hak kanak-kanak,” katanya.

“Bahkan, setiap duta yang dilantik juga perlu bekerjasama dalam usaha menyalurkan kesedaran demi membela hak asasi kanak-kanak,” katanya.

Sebagai duta, ibu kepada si comel Yahaira Leanne ini mengakui tawaran itu menjadi platform tepat dalam menyumbang tenaga dan idea bagi membela nasib kanak-kanak khususnya di Malaysia.

“Biasanya, apabila melibatkan kanak-kanak, saya akan menjadi lebih defensif dan protective.

“Sejak bergelar ibu, perasaan saya juga semakin sensitif selain mudah memberontak saat melihat kanak-kanak menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, bintang filem Lagenda Budak Setan ini mengakui pergerakannya sedikit terbatas lantaran sedang sarat hamil anak kedua.

“Sebenarnya, saya ada banyak komitmen yang perlu dilaksanakan dan mungkin akan ada aktiviti yang menyebabkan saya tidak boleh hadir secara fizikal.

“Walaupun diberi kelonggaran, tetapi saya tetap akan melibatkan diri melalui penggunaan media sosial sebagai medium untuk berkongsi kempen kesedaran berkaitan perlindungan kanak-kanak,” katanya.

Suka melaram

Sementara itu, bercakap mengenai kehamilan keduanya, Lisa mengakui lebih bersikap terbuka selain masih aktif bekerja walaupun usia kandungan mencecah 30 minggu.

Pelakon filem I’m Not Single ini dilihat tampil dengan penuh berkeyakinan dan selesa selain tidak lokek bercerita mengenai pengalamannya berbadan dua sekali lagi.

“Alhamdulillah, kali ini, tenaga dan keadaan fizikal lebih stabil.

“Saya juga semakin rajin melakukan  aktiviti harian seperti memandu kereta dan mengemas rumah.

“Bahkan, saya juga lebih suka melaram walaupun hanya duduk di rumah. Sebenarnya, saya pun terkejut sebab asyik  nak melawa saja,” katanya yang enggan mendedahkan jantina bayinya.

Pada masa sama, Lisa dan Yusri akan menjalani penggambaran bagi program Ebu Babypedia musim kedua, Mac nanti.

“Kali ini, program ini akan menghimpunkan pelbagai topik semasa saya  mengandung.

“Istimewanya, Yahaira juga akan terlibat sama tetapi pada kadar sederhana,” katanya yang dijadualkan melahirkan anak pada April nanti.