SIAPA tidak kenal kumpulan bola sepak The Red Warriors (TRW) yang dulunya dikenali sebagai Skuad Kijang yang ketika itu dianggap sebagai kumpulan belasahan.

Namun sejak tahun 2009, setelah melakukan penjenamaan semula dengan menukar nama kepada TRW, tuah menyebelahi kumpulan ini sehingga berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Kini nama TRW bukan sahaja dikenali dalam dunia sukan bola sepak, tetapi TRW seolah-olah sudah menjadi satu jenama apabila banyak produk mula dihasilkan.

Antaranya jersi sendiri, minyak wangi dan kad peribadi TRW. Dan satu lagi kejayaan bakal menemui peminat kumpulan ini adalah filem Jejak Warriors yang menampilkan sendiri pemain handalan kumpulan bola sepak itu beraksi di hadapan kamera.

Bagaimanapun filem Jejak Warrior yang merupakan terbitan bersama antara pihak U2 Media Sdn Bhd dan TRW diterbitkan bukan hanya bertujuan menonjolkan aksi pemain bola sepak sahaja, tetapi lebih kepada konsep kekeluargaan.

Penerbit Eksekutif U2 Media, Siti Nur Mokhtar berkata, filem yang bakal menemui penonton pada 27 Ogos depan adalah tentang semangat ingin berjaya pada seseorang yang dijelmakan ke dalam TRW. 

“Kejayaan dalam sesuatu cerita, selalunya terletak kepada kepercayaan seseorang individu dalam memilih pertempurannya dan berjuang sehingga akhir. Pengembaraan kanak-kanak dalam filem ini adalah melambangkan semangat. 

“Di mana ia membawa nilai-nilai baik dalam kehidupan, digabungkan dengan keyakinan yang kuat dalam mencapai cita-cita, dan impian ini boleh dicapai sekiranya dia tidak bertolak ansur dengan nilai-nilai baik yang ada,” katanya kepada Zass.


Jadi inspirasi peminat 

Berkongsi pula dorongan pihak penerbit untuk membuat filem tersebut, Siti Nur berkata, pihaknya melihat kejayaan pasukan TRW yang bermula dari zero kepada hero memberikan inspirasi untuk mengangkat mereka dalam filem tersebut.

“Memandangkan TRW adalah suatu yang unik apabila berkembang dari pasukan yang miskin dan kekurangan kepada sebuah pasukan yang popular dalam arena bola sepak negara.

“Yang paling menarik ialah mereka berjaya menukarkan imej peminat yang agak berbudaya liar atau ganas suatu ketika dahulu kepada penonton yang paling berdisiplin tanpa mengira batasan politik dan latar belakang dalam arena bola sepak kita.

“Kami juga mengagumi semangat TRW pada pasukan dan peminatnya yang mana TRW telah berjaya membina satu jenama yang kuat sejak beberapa tahun lalu, dan kami tidak merasa ragu-ragu untuk berkolaborasi dengan mereka,” katanya.

Jejak Warriors sebuah kisah pengembaraan mengenai seorang remaja (Wan Raja) untuk berjumpa dengan pasukan bola sepak pujaan beliau iaitu TRW.

Bapa Wan Raja adalah seorang penyokong nombor satu TRW sehinggalah satu kemalangan berlaku dan ini telah menukar kehidupan keluarganya untuk selamanya. Dengan kematian mengejut ibu Wan Raja, beliau menyedari cita-cita bapanya untuk mendapatkan tandatangan pemain TRW belum tercapai. 

Sewaktu perjalanan Wan Raja dari Johor Bahru ke Kota Bahru beliau telah menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran namun untuk berputus asa bukan pilihan bagi beliau bagi mencapai cita-citanya.

Antara barisan pelakon ialah Mohd Aliff Firdaus, Pekin Ibrahim, Nadiya Nissa, pemain TRW (Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd Fitri Omar, Ahmad Fakri Saarani, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria), Allahyarham Harun Salim Bachik, Hushairi Hussin, Watie Elite, Chew Kin Wah, Affandi Abu Bakar, Amir Raja Lawak, Syuk, Rudhi Khalid, Bell Ngasri, Sabri Yunus, Noor Shaila, Ogy Ahmad Daud, Hashim Mustapha dan Dikir Warriors.


Tanggungjawab penaja

Istimewanya filem Jejak Warriors ini turut mendapat kerjasama daripada pihak Kumpulan Media Karangkraf. 

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu penerbit memperkenalkan serta mempromosikan filem Jejak Warriors kepada umum.

Nasir juga sependapat dengan penerbit berkenaan objektif filem ini, di mana lebih mengetengahkan konsep hubungan kekeluargaan dan kesepakatan, bukanlah khusus mengenai bola sepak sahaja.

“Ini tanggungjawab kami sebagai penaja TRW setelah menjadi penaja tujuh tahun berturut-turut. Kami buat semampu boleh. 

“Kerana dengan bola sepak sebenarnya ia boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan, ada unsur penyatuan tidak kira bangsa atau agama pastinya akan duduk bersama apabila bercakap mengenai bola.

“Justeru, saya punya harapan biarlah filem ini mendapat sambutan baik daripada peminat TRW sendiri dan juga peminat bola yang lain kerana ia bukan filem kenegerian sahaja tetapi filem untuk semua,” katanya ketika sidang media memperkenalkan filem tersebut di Auditorium Karangkraf, baru-baru ini.