CUKUP terkenal dengan suara romantisnya, Jamal Jamaluddin, 49, kini dilihat sudah begitu sebati dengan stesen radio Sinar FM yang memperjuangkan muzik retro tanah air.

Mengendalikan segmen Cetusan Hati dan Dedikasi, setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 10 malam hingga 2 pagi, Jamal tidak pernah jemu melayani kerenah pendengar, sebaliknya perasaan gembira dan teruja makin menebal di hatinya.

Menyentuh mengenai pembabitan awalnya dalam industri radio, Jamal mengatakan minatnya terhadap bidang itu mula timbul sejak dia berumur 16 tahun lagi.

"Pada tahun 1978, sewaktu saya berada pada tingkatan empat, ada sebuah program yang disiarkan di televisyen menceritakan tentang kehidupan dan tugasan sebagai seorang penyampai.

"Ternyata, program itu berjaya memberi kesan kepada diri saya dan dari situlah minat dalam bidang ini mula timbul," katanya sambil mengimbau zaman persekolahannya.

Seakan nasib menyebelahi dirinya, setelah tamat menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Jamal berpeluang menyambung pelajarannya di Kolej Knox, Illinois, Amerika Syarikat dalam jurusan Sains Komputer.

"Oleh kerana terlalu minat dalam bidang penyampai radio, saya telah menawarkan diri untuk menyertai stesen radio milik kampus sebagai seorang penyampai.

"Dari situlah saya mula menimba ilmu dalam bidang tersebut dan minat ini terus sebati dalam hidup saya," katanya.

Setelah tamat pengajian pada 1986, Jamal akhirnya pulang ke tanah air bagi merealisasikan impiannya untuk bergelar penyampai radio.

"Kebetulan ketika pulang ke Malaysia, ekonomi negara sedang meleset. Keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada saya untuk mendapatkan pekerjaan. Ketika itu saya terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan dan impian untuk bergelar penyampai radio semakin kabur.

"Mujurlah, atas berkat kesabaran saya dalam mengejar impian sebagai deejay radio, akhirnya pada 1998 saya telah diberi tawaran menyertai stesen radio Light & Easy sebagai penyampai," katanya.

Ditukarkan ke stesen radio Era FM, kredibiliti Jamal sebagai penyampai semakin menyerlah dan diberi kepercayaan pula mengendalikan segmen di Sinar FM yang ketika itu baru beroperasi.

Dulu dan sekarang

BERKONGSI pengalamannya, anak jati Kuala Lumpur ini berkata, ilmu yang ditimba semasa mengendalikan stesen radio milik kampusnya banyak membantu dirinya bergelar penyampai sebenar.

"Walaupun cita rasa yang dimiliki pendengar tempatan agak berbeza dengan pendengar di sana, saya gembira kerana tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.

"Setiap pekerjaan pasti ada cabarannya, saya juga tidak terlepas daripada perkara yang sama. Tetapi oleh kerana terlalu minat dalam bidang ini, saya tidak pernah berputus asa untuk berikan yang terbaik buat pendengar di luar sana," jelasnya.

Tambah Jamal, perubahan teknologi yang semakin canggih banyak membantu penyampai menjalankan tugasan mereka dengan mudah.

"Dengan teknologi yang ada sekarang, banyak faedah yang kami peroleh. Selain dapat berhubung bersama pendengar dengan mudah, penyampai juga boleh dapat respon pendengar dengan pantas.

"Jika mahu dibandingkan dengan keadaan dahulu, ia lebih rumit dan peluang pendengar yang mahu berkomunikasi dengan penyampai agak terbatas," katanya.

Mengulas lanjut segmen kendaliannya, Jamal berkata, Cetusan Hati adalah segmen menarik yang membolehkan pendengar berkomunikasi dan berkongsi perasaan mereka untuk orang tersayang, tidak kiralah pasangan kekasih mahupun ibu bapa dan rakan baik.

Peminat fanatik Michael Jordan

SIAPA sangka, di sebalik suara romantiknya, Jamal merupakan peminat fanatik kepada pemain bola keranjang terkenal, Micheal Jordan.

Menjadikan bintang dunia itu sebagai idolanya, penyampai berusia 49 tahun ini juga sangat meminati sukan.

"Sesibuk mana pun, saya akan meluangkan masa untuk beriadah. Jika ada kesempatan, saya akan habiskan masa dengan bermain bola keranjang.

"Sukan ini sememangnya mampu membantu seseorang mengekalkan ketahanan fizikal, sekali gus ia akan jadikan hidup kita lebih sihat," katanya yang menyifatkan usia bukan penghalang untuk aktif dengan sukan.