Tepat jam 3.55 petang, semalam, pelakon dan pengacara terkenal, Irma Hasmie Ibrahim sah bergelar isteri kepada Redza Syah Azmeer Datuk Mohd Radzuan hanya dengan sekali lafaz.

Irma dinikahkan oleh bapa kandungnya, Ibrahim Othman dengan disaksikan Pegawai Juru Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Putrajaya, Mohd Redza Azhar.

Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan Dewan Sri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya itu, pihak lelaki menyerahkan mas kahwin berjumlah tiga dinar dan 11 dulang hantaran termasuk sirih junjung, sebentuk cincin,  manisan, jam tangan, tas tangan, coklat dan set mandian.

Sementara, pengantin perempuan membalas sebanyak 13 dulang seperti sirih junjung, sebentuk cincin, al-Quran, sejadah, kurma dan komputer riba. Bagaimanapun, kedua-dua mempelai ini sepakat untuk merahsiakan jumlah wang  antaran.

Irma kelihatan anggun dengan busana hasil rekaan Hatta Dolmat, manakala pengantin lelaki mengenakan baju Melayu yang mendapat sentuhan Ezuwan Ismail.

Pasangan pengantin baru ini akan sekali lagi diraikan dalam majlis resepsi pada 1 Julai di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), jam 8 malam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.