• Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit. Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit.
1 /

FILEM yang berlatar belakangkan Kampung Pisang cukup sinonim dengan pengarah filem terkenal, Mamat Khalid.

Kali ini, beliau tampil dengan filem ketiga, yang mengekalkan genre komedi seram dalam Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit.

Selepas Hantu Kak Limah Balik Rumah berjaya mencatat kutipan RM7.9 juta dua tahun lalu, pasti ada yang membanding-bandingkan kesinambungan filem itu dengan Hantu Kak Limah 2.

Namun, Mamat Khalid menegaskan, dia tidak mahu penonton menyaksikan satu lagi Hantu Kak Limah Balik Rumah dalam filem terbarunya itu.

“Harus difahamkan, saya tidak mahu kita menyaksikan satu lagi Hantu Kak Limah Balik Rumah. Kalau saya mengulang lagi lawak-lawak dan cerita yang sama... kuranglah karya tetapi roh Kampung Pisang, roh komedi itu dikekalkan.

“Saya harap penonton akan rasa ‘sense of belonging’ dengan ‘keluarga’ Kampung Pisang. Apabila dah kenal, saya tak perlu ulang lagi dalam bentuk dialog atau lenggok badan,” katanya.

Menurut Mamat, Hantu Kak Limah 2 bukanlah filem ulangan. Jelasnya, kelainan turut disuntik menerusi jalan penceritaan yang memberi nafas baru kepada kesinambungan filem ini.

"Saya cuba buat lebih segar daripada Hantu Kak Limah Balik Rumah, sebab itu watak Kak Limah minor sahaja dalam filem kali ini.

“Penonton mahukan kelainan... saya takut penonton sudah mula muak, jadi setiap kali itu saya suntikkan kesegaran dalam episod Kampung Pisang,” katanya yang menggunakan 20 peratus teknik janaan imej dalam filem ini.

Jika dua filem Kampung Pisang sebelum ini mengetengahkan karakter zombie, kali ini Mamat menimbulkan kelainan menerusi karakter jin pakai toncit.

Mengambil nama sempena filem Pendekar Bujang Lapok, Mamat berkata, ia tanda penghormatan kepada Seniman Agung P Ramlee.

13 krew masuk hospital

Mamat turut memberitahu bahawa 13 krew produksi dimasukkan ke hospital tanpa dikesan sakit yang jelas ketika menjalankan penggambaran di Hutan Ulu Kenas, Taiping.

“Krew saya termasuk penolong pengarah dimasukkan ke hospital. Saya tak panik sebab bila dah sampai di set, perkara pertama adalah menghabiskan filem. Apa saja masalah yang timbul, kita tak pandang kerana kita nak habiskan.

“Kami buat penggambaran di tempat yang keras, kami bekerja mengejar masa, jadi saya rasa badan letih dan lemah semangat menyebabkan ia mudah didatangi 'benda-benda' yang tidak sepatutnya,” katanya yang menjalankan penggambaran sehingga jam 5 pagi di hutan itu.

Sementara itu, berikutan pemergian Zami Ismail atau Pak Uda, Jun tahun lalu yang memegang watak sebagai Pak Abu dalam filem trilogi Kampung Pisang ini nyata tiada gantinya.

“Tiada siapa yang boleh ganti arwah. Kalau saya nak buat sekuel lain pun, saya tidak akan mencari pengganti arwah kerana watak itu sudah sinonim dengannya,” kata Mamat.

Dibintangi Awie, Usop wilcha, Rahshidi Ishak, Allahyarham Zami Ismail, Azwan Annuar, Adflin Shauki, Nuri, Ezlynn dan Avaa Vanja, filem yang menelan kos RM1.65 juta, bakal menemui penonton di pawagam bermula 7 Februari ini.