SETELAH dikecam teruk oleh masyarakat dek percintaannya dengan 'suami orang', pelakon kontroversi, Hanez Suraya, kini bangkit mengatur karier seninya.

Malah berkat kesabarannya, aktres cantik ini nampaknya semakin diterima semula oleh peminatnya.

Ini terbukti apabila kehadirannya di Pesta Buku Antarabangsa PWTC bagi mempromosikan buku Love You Mr Arrogant di PWTC, diterima baik oleh orang ramai.

Menurut pelakon Autumn Di Hatiku ini, pada awalnya dia takut berdepan orang ramai, namun perasaan itu berubah sama sekali apabila melihat peminat mula menegur dan menghampirinya.

“Alhamdulillah saya memang tak menyangka orang masih lagi menghargai lakonan saya. Saya ingin berterima kasih kepada orang ramai dan peminat yang masih lagi memberikan sokongan berterusan dan ramai yang datang pada saya minta saya bersabar dalam mengharungi cabaran menjadi anak seni,” katanya.

Menurut Hanez, dia juga sangat terharu dan bersyukur kerana masih diberikan peluang dan ramai yang menilai bakat lakonannya.

Menyedari masih ada peminat yang memberikan sokongan kepadanya, Hanez nekad memberikan komitmen lakonan yang tinggi selepas ini.

“Memang ramai yang kata saya dah tak ada job selepas kontroversi tu, tapi saya tak rasa ia memberikan kesan kepada saya kerana saya tolak beberapa job sebelum ini pun kerana saya terlalu tertekan.

“Jadi, selepas lihat ramai yang masih lagi setia menyokong karier saya, saya akan sentiasa memberikan yang lebih baik selepas ini,” katanya yang boleh menghela nafas lega.


Berlatih lebih masa

Menyentuh mengenai perkembangan terbaharunya, menurut Hanez, dia kini sedang giat menjalani latihan pementasan teater Projek Kahwin yang bakal berlangsung di Istana Budaya, bermula 6 hingga 14 Jun depan.

Menurut Hanez, jika pelakon lain hanya berlatih pada waktu malam, dia sanggup mengisi slot pagi dan malam untuk memantapkan lagi hasil lakonannya di pentas teater.

Mengakui masih baharu dan mempelajari selok-belok untuk berdepan audiens, Hanez bagaimanapun tetap yakin dengan usaha yang berganda akan membuahkan hasil yang diidamkan.

“Saya memang suka kepada cabaran, saya mencabar diri saya untuk mencuba benda baharu. Lagi-lagi apabila saya terpaksa berdepan dengan audiens secara langsung. Walaupun masih ada perasaan gementar dan cemas, saya cuba menanganinya.

“Dan saya yakin saya dapat buat seperti kehendak pengarah dan demi kepuasan diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Hanez juga kini baharu sahaja menjalani rakaman hari belia bagi mengisi slot remaja dan sukan ekstrem.

Jelas Hanez, walaupun dia tidak begitu menggemari aktiviti lasak, namun dia tetap berasa seronok selepas mencubanya.

“Sebelum ini memang saya tak dapat menerima sukan ekstrem tapi selepas cuba sukan drift kereta saya rasa tahap keyakinan saya sudah meningkat terutamanya berkaitan dengan sukan seperti ini,” katanya yang kini mula menjinakkan diri dalam dunia pengacaraan.


Ceburi bidang perniagaan

Dalam perkembangan lain, Hanez juga dikatakan sedang belajar dan membantu adiknya yang membabitkan perniagaan dalam bidang kecantikan dan fesyen.

“Saya memang sedang mendalami bidang perniagaan, namun saya lebih kepada membantu sahaja, kerana fokus saya kepada karier. Maklumlah sekarang pun orang ramai baharu mula nak terima saya. Jadi ambil masa untuk saya fokus dalam bidang perniagaan.

“Apa pun saya selalu bertukar pendapat dengan ahli keluarga mengenai peluang perniagaan yang perlu saya ceburi, kerana bimbang tak dapat fokus dan memberikan masa sepenuhnya kepada bidang perniagaan itu nanti,” katanya.

Jelas Hanez, dia memang sangat meminati bidang fesyen, namun belum masanya lagi untuk dia berkongsi lebih lanjut mengenai bisnesnya itu.

"Ia masih dalam perbincangan. Bila dah jadi nanti, saya akan kongsi semua," katanya.


Tolak cerita peribadi

Jika sebelum ini dia agak terbuka berkongsi perihal peribadinya, namun selepas kontroversi yang berlaku, Hanez berkata, dia akan lebih berhati-hati.

"Bagi saya biarlah saya simpan dahulu berkaitan perkara peribadi. Saya tak mahu disebabkan perkara peribadi sekali lagi menjejaskan karier saya,” katanya.