LIMA BELAS tahun yang lalu, berlaku satu pembunuhan kejam dan ngeri di Pahang. Kejadian ini tidak mendapat liputan luas di media atas sebab-sebab tertentu dan  tiada sesiapa yang tahu mengenai perkembangan kes ini.

Selepas tragedi itu, tiada siapa yang menghuni rumah tersebut dan ia kekal menyimpan misterinya sehingga menjadi kawasan terbiar.

Igauan ngeri dari rumah tersebut sering menghantui penduduk sekitar. Antaranya terdengar bunyi yang aneh dan seperti laungan serta jeritan ngeri hampir setiap malam dari pekarangan rumah tersebut.

Sekumpulan remaja dan seorang penyiasat persendirian telah membuat keputusan untuk mengkaji sendiri misteri yang tersirat di sebalik laungan-laungan yang datang dari rumah itu.

Apakah mereka berjaya mendapatkan jawapannya sepertimana diceritakan oleh penduduk sekeliling? Filem 3 Am, ada jawapannya.

Lain dari lain

Boleh dikatakan tahun ini mungkin tahun hebat bagi filem filem seram menjadi pilihan penonton filem melayu. Baru habis Munafik dah keluar 3AM.

Filem 3AM terbitan Produksi Bright Sun Media Sdn Bhd merupakan filem sulung garapan pengarah, Azlan Shahril ini memaparkan keunikan dari sudut sinematografi berunsurkan seram, di mana elemen teruja akan membuatkan penonton lebih ternanti-nanti apa berlaku kepada babak seterusnya.

Dimulakan dengan animasi, menjadikannya babak ini amat penting bagi membentuk filem secara keseluruhan.

Setiap adegan dipenuhi tanda tanya dan penonton akan sentiasa berdebar untuk menantikan apa kesudahannya.

Bagaimana mereka berjaya atau sebaliknya membongkar kisah misteri di rumah itu.

Bercerita lanjut, Azlan berkata, peristiwa seram yang berlaku terhadap beliau and krew juga memberikan impak dramatik terhadap perjalanan penggambaran filem ini.

Katanya mereka terpaksa mengharungi detik-detik cemas sepanjang sesi pengambaran di rumah tersebut apabila terdapat ‘gangguan‘ dan juga visual aneh lembaga yang sempat dirakam.

"Masalah-masalah seperti ini telah menyebabkan tempoh pengambaran terlewat dari jangkaan asal iaitu tempoh enam bulan telah diambil hanya untuk aktiviti produksi.

"Tumpuan utama filem ini adalah rumah itu sendiri dan penonton disajikan dengan elemen suspen ketika menonton filem itu sendiri. Tambahan pula, kehadiran pelakon-pelakon terkenal tanahair seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Norman Hakim meningkatkan lagi jangkaan filem ‘3am’ ini," katanya.

Pelakon hebat

Bagi penulis, kehebatan dua figura ini dalam menghayati watak dan cerita tidak perlu dipertikaikan lagi. Malah dengan gandingan watak sampingan seperti A Galak, Dynas Mokhtar dan Allana Amir yang memukau, ditambah iringan rumut bunyi serta audio debar yang dramatik, ia cukup mengagumkan!

Pelakon baru seperti Ridwan dan Firdaus juga tidak mengecewakan dan terus membuat penonton melekat pada kerusi

Malah tidak keterlaluan jika penulis mengandaikan naskhah terbitan Bright Sun Media Production Sdn Bhd ini bakal menyaingi filem genre seram yang terbaik di Malaysia.

Memang mendebar hingga ke hujung sehingga ada masa terasa seperti ada sesuaatu di belakang kita... Pada hemat penulis filem seperti ini memang boleh dikatakan tidak pernah dibuat di Malaysia.

Ia mengabungkan animasi, paranormal and lakonan biasa. Audio tidak begitu baik tetapi tidak menghampakan. Dari sepuluh bintang tidak lokek untuk menetapkan mata 8.8 bintang.

Filem ini menjanjikan sebuah pengalaman yang baru pada bakal penonton dan penulis yakin ia mampu meninggalkan pengalaman yang tidak mudah dilupakan sekaligus menjadi pelopor untuk generasi akan datang dalam melahirkan filem seram seperti ‘3AM’.

Ditayangkan di pawagam pada 6 Disember, 3AM bakal menjadi pengalaman dan kepuasan kepada para pemburu kisah seram bertemakan pembunuhan ngeri. Selamat menonton!